Siti Kassim, David Orok: Pemuda Sabah buat laporan polis

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah melalui Ketuanya, Zulzaim Hime Abidin membuat suatu laporan polis terhadap Siti Kassim dan David Orok di Balai Polis Tanjung Aru.

Advertisement

Menurut Zulzaim, laporan ini dibuat bagi membolehkan satu siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas kedua-dua individu tersebut dilaksanakan.

Katanya lagi, ini berikutan status facebook dipercayai milik Siti Kassim pada 1 dan juga 10 September lalu yang telah membawa pelbagai tafsiran, pengertian menyimpang dan menyesatkan mengenai pengorbanan; merujuk kepada tindakan yang dilakukan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S.

Tambahnya, pada 5 September lalu satu lagi status yang mengelirukan oleh pemilik facebook David Orok telah dimuat naik yang menyatakan bahawa Nabi Ismail adalah anak luar nikah hasil dari tindakan Nabi Ibrahim meniduri Hajar yang memberi maksud bahawa Nabi Allah itu telah melakukan perbuatan zina.

Jelasnya, kesemua ini boleh ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan menentang serta mencabar Yang Di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam bagi Malaysia.

Selain itu katanya lagi ia juga bersifat ancaman serta menggugat ke atas ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling, Yang Dipertua PAS Putatan, Ust Kamal Osman dan Ketua Pemuda PAS Putatan, Asrul Samat. – HARAKAHDAILY 12/9/2017