Buka pusat kemanusiaan Malaysia di Cox Bazar

MAPIM bersama gabungan NGO Malaysia akan membuka sebuah pusat operasi bantuan kemanusiaan (Malaysian Humanitaraian Center – MHC) di Cox Bazar Bangladesh, minggu ini. Pusat ini berfungsi untuk menjadi pusat menyelaras, komunikasi serta fasilitasi untuk NGO Malaysia dan NGO Serantau melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di daerah Cox Bazar dengan lebih efisien dan berkesan.

Advertisement

Sejak 25 Ogos 2017, antara 18,000-20,000 orang warga Rohingya melarikan diri untuk mencari perlindungan di Bangladesh melalui sempadan sungai Naf. Kini hampir 400,000 orang pelarian Rohingya telah berada di Teknaf, bandar kecil di selatan Cox Bazar, sebuah daerah yang popular sebagai pusat pelancongan.

Keadaan pelarian sangat berat. Ada yang berjalan kaki berhari-hari tanpa makanan dan minuman. Situasi ini sangat parah sehingga Bangladesh mendesak Myanmar menerima semula warga Rohingya ini pulang ke tempat mereka kembali.

Agensi kemanusiaan kini tidak dibenarkan masuk ke dalam daerah di mana tentera Myanmar beroperasi di Maungdaw, Buthidung dan Ruthidung. Lantaran itu ribuan warga Rohingya terperangkap manakala yang dapat menyelamatkan diri sedang berada di sebelah Bangladesh.

Mapim akan berusaha untuk mengerakkan kerja assesmen di Cox Bazar untuk menilai keperluan bantuan kemanusiaan dan bagaimana kaedah serta mekanisme pengedaran bantuan asas makanan, ubatan, khemah, keperluan kanak-kanak dan wanita dapat dilakukan dengan lancar oleh semua NGO Malaysia.

MHC akan mula beroperasi juga sebagai pusat maklumat dan komunikasi agar sukarelawan dari pelbagai NGO boleh menyelaraskan kerja kemanusiaan di Bangladesh setelah mendapat maklumat yang terkini dan lengkap.

Mapim sedang berusaha untuk mendapat kelulusan dari pihak Bangladesh dan sokongan dari kerajaan Malaysia supaya MHC tidak berhadapan dengan kerumitan prosedur dari pihak yang berkenaan di Bangladesh. – HARAKAHDAILY 13/9/2017