MSN jadi tempat longgokan Umno?

APABILA Pemuda Umno Kelantan mendakwa kerajaan PAS tidak pernah menyumbang bagi membangunkan sukan, tentunya agak aneh bunyinya.

Advertisement

Mungkin ketuanya Mohd Azan Ismail tidak membuat kajian sebelum mengeluarkan kenyataan. Eloknya sebagai pemimpin muda yang mahu mendaki hierarki lebih tinggi meluang masa membelek akhbar lama.

Sekadar glamor dengan kenyataan kurang berasas, tentunya tidak mampu bertahan lama.

Bercakap pada program Sembang Teh Tarik 2.0 PraBajet2018 baru-baru ini Azam mendakwa kerajaan negeri tidak memberi apa-apa sumbangan.

“Sepanjang penglibatan saya selaku timbalan pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan tiada bantuan daripada kerajaan negeri,” ujarnya.

Kasihan Mohd Azam, buah paku keras cuba dipulangkan kepada pihak lain.

Ketika hadir pada wacana anjuran NGO Pertahan di sebuah hotel di Kota Bharu pertengahan Ogos lepas, ketua pemuda Umno Kelantan nampak ada upayanya.

Kata orang kampung, Mohd Azam ada jantannya berbanding wakil AMK Kelantan dan Armada PPBM. Dr Mohd Hafidz Rizal Amran dan Asran Alias tidak muncul pada wacana itu.

Cub PrixMohd Hafidz dan Asran akhirnya terpaksa mencipta alasan bagi menggambarkan mereka juga jaguh kampung.

Mohd Azam berjaya mencipta nama pada episod itu. Sedangkan Dr Hafidz akhirnya kehilangan jawatan ketua AMK.

Kepulangan Azam biarpun wacana itu belum berakhir, diiringi sorakan penyokongnya. Keberaniannya bergabung seketika dengan ketua pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari memberinya markah penuh.

Malangnya sikap jiwa besar itu tidak mampu bertahan lama. Apabila Mohd Azam membuat kenyataan melulu, markahnya bertukar merah.

Pulang buah paku keras akhirnya kembali ke pangkuannya. Rakyat Kelantan tahu sejarah MSN, yang mana Mohd Azam sebagai timbalan pengerusi sekarang.

Di negeri-negeri lain pengerusi MSN ialah menteri besar. Di Kelantan pengerusinya bekas Ketua Pemuda Umno Kota Bharu. Dan lebih malang lagi calon BN yang tewas di Dun Salor pada pilihan raya umum (PRU) lepas dilantik sebagai pengarah MSN.

Mohamad Nordin Awang, orang kuat Umno. Sejak Oktober 1990 MSN diletak atur oleh Umno Kelantan. Jadi wajarkah Mohd Azam menuding kepada kerajaan negeri tidak membantu membangunkan sukan.

Mengikut bahasa orang hulu, MSN lebih kurang sama dengan Kemas dan Jasa. Semuanya menghimpunkan orang Umno termasuk yang tewas PRU.

Khabarnya begitu juga bekas calon Umno di Bunut Payong, juga dilonggok di agensi terbabit.  

Sepatutnya pemuda Umno turut berbangga apabila kerajaan negeri menaja pemain bola menunaikan umrah pada 2010.

Seramai 40 pemain dan pegawai skuad ‘Red Warriors’ ditaja menunaikan umrah. Ia sebagai memenuhi janji setelah pasukan itu layak ke peringkat akhir Piala Malaysia 2009.

Selain itu kerajaan negeri mengurangkan bayaran levi Perbadanan Stadium untuk meringan bebanan Persatuan Bola Sepak Kelantan.

Tahun ini Kelantan memperuntukkan RM5.4 juta bagi kegiatan sukan dan belia. Bantuan juga disalur kepada badan-badan sukan termasuk Persatuan Taekwondo dan banyak lagi.

Bantuan tidak disalur kepada MSN sebaliknya terus kepada persatuan. Apakah usaha itu bagi pemuda Umno ia bukan pembangunan sukan.– HARAKAHDAILY 13/9/2017