Selamat bersara KPN Tan Sri Khalid

KETUA Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah tamat perkhidmatan pada 4 September lalu dan digantikan oleh seorang yang saya tidak ingat namanya sekalipun sudah seminggu memegang jawatan.
      
Saya baca namanya ketika diumumkan sebagai pengganti Tan Sri Khalid serentak mengambil alih jawatan. Esoknya saya terbaca sekali lagi namanya atas kata-katanya mengambil alih tugas KPN.
     
Kerana selepas itu saya tak jumpa namanya dalam akhbar yang saya langgan, maka saya tidak ingat namanya. Terasa sunyi berita polis kerana dia tidak seperti KPN yang digantikannya, setiap hari nama dan gambar terpampang di akhbar-akhbar.
      
Sebagaimana PM Najib dan TPM Zahid nama mereka ada saja dalam berita, maka KPN Khalid ada saja beritanya tersiar. Tidak salah tapi terasa macam orang politik pula.
      
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberi penghargaan atas tugas profesionalnya dan kebebasannya melaksanakan profesionalisma perkhidmatan polis secemerlang mungkin, hingga apa saja yang menteri itu fikir patut polis buat, maka ia dilaksanakannya.
      
Rasanya dia memang pemimpin polis yang cergas. Maka patut banyak puji diberi kepadanya terutama banyak kes jenayah besar seperti bunuh dan rompak dapat dicekup dalam masa yang singkat. Patut diberi syabas kepada pimpinannya.
      
Cuma dirasakan tidak dapat dipenuhinya ialah desakan bertubi-tubi MP Tony Pua dari DAP supaya bertindak menyiasat dan menangani kes 1MDB dan pembabitan PM Najib dengannya. Semua mahukan penyiasatan polis tetapi Tony Pualah banyak ke depan.
     
Kerana KPN itu tidak dilihat peduli atas tuntutan itu, maka tidak henti-hentilah gesaan terhadapnya dibuat.
      
Tuntutan supaya PM dan 1MDB disiasat bermula sejak terbongkarnya apa yang dikira skandal paling besar oleh seorang pembesar sejak merdeka. Rugi niaga buluh kasap Bank Negara dalam mata wang asing cukup besar, tetapi 1MDB adalah lebih besar kerana ia mengaitkan pula pembabitan lain-lain agensi menanggung beban bagi menutup pekung 1MDB itu.

Advertisement

KPN Khalid telah dinamakan dari awal dalam penyiasatan itu. Itulah cabaran besar menguji kebebasan profesionalismanya. Tidak diketahui umum apa yang dibuatnya. Kerana orang  tak tahu apa yang dibuat, maka orang sangka tidak apa yang dibuat.
      
Kalau apa yang berlaku dikatakan diketahui semua oleh DOJ, Jabatan Kehakiman Amerika yang beribu batu jauhnya, bagaimana gajah di depan mata Bukit Aman polis tak nampak. Peribahasa itu sendiri menempelak idak percaya tak nampak gajah di depan mata.
      
Seribu kerja profesional dapat diselesai, jenayah sebesar Bukit Uhud depan mata tidak nampak menyebabkan seribu jasa berkecai tidak berharga.
       
Dengan seribu kecemerlangan profesional, patutnya KPN Khalid yang segar dan berinovasi tidak dilepaskan dari perkhidmatannya. Kalau Mahathir dikira amat pintar cuba dihalang bersara sekalipun terlalu lama jadi Perdana Menteri, justeru tidak senang beroleh orang dinamik sepertinya. Atas dinamik Najib itulah idak sedia melepaskan pimpinnya sekalipun macam-macam orang kata padanya, maka bukan senang dapat KPN seperti Khalid. Boleh idak dilepaskan supaya khidmat cemerlang dapat diteruskan.
     
Tapi gesaan Tony Pua bertubi-tubi terhadapnya, mungkin bersara dapat menyelesaikan masalahnya. Senang  tiada beban lagi.
      
Jangan fikir tuntutan siasatan atas 1MDB dan Najib hapus dengan tiada Khalid. Justeru ia    tidak ditangani Khalid, beban itu terpaksa dipikul oleh KPN baru. Kesianlah pada orang baru atas beban yang ditinggalkan orang yang pergi! – HARAKAHDAILY 13/9/2017