Adun PAN persenda industri pelancong Kelantan

LEBIH 40 program peringkat antarangsa, kebangsaan dan negeri disusun kerajaan negeri sepanjang tahun ini bagi menarik pelancong bertandang ke Kelantan.

Advertisement

Selain itu Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) juga melancarkan motto ‘Kelantan Di hati’ bagi memperkasakan program promosi menarik pelancong.

Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Mohamad Sahrulnizam Mat Rashid berkata, siri promosi yang dilaksanakan termasuk di Matta Fair, Mita Fair dan terbaru program Joyful Malaysia with Kelantan Tourism Information Centre.

Katanya, program itu diadakan dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad bertempat di KLIA dan KLIA 2 selama sebulan.

“Di samping itu, pelbagai usaha promosi juga dijalankan di luar negara seperti di Hatyai dan Jakarta bagi menarik kedatangan pelancong asing ke Kelantan.

“Hasil usaha itu sehingga Ogos lepas Kelantan menerima sebanyak 3,050,118 pelancong,” katanya di sini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa mendakwa Kelantan hanya pandai melancong dan bukannya menarik pelancong.

Sahrulnizam berkata, kenyataan pemimpin terbabit mencerminkan kelompok yang bukan bergiat dalam industri pelancongan.

Katanya, kenyataan tanpa berpandukan fakta-fakta semasa industri pelancongan tidak sepatutnya dikeluarkan seorang yang bertaraf wakil rakyat.

“Adun Salor seperti mempersendakan usaha kerajaan negeri, agensi dan pengiat industri pelancongan di Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2017