IPD penting, tapi mana hospital?

SAYA ingin memberikan respons kepada satu laporan berita yang melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ucapan perasmiannya pada Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kemaman baru-baru ini berkata, sebanyak RM80 juta telah diluluskan bagi pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. Beliau juga dipetik sebagai berkata, pembinaan IPD ini adalah hasil usaha keras daripada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, tanpa beliau memberikan justifikasi atas keperluan mendesak apakah IPD Kemaman perlu disegerakan pembinaannya.

Advertisement

PAS Terengganu dengan dasarnya yang sangat jelas, tidak pernah menolak sebarang pembangunan yang difikirkan perlu bagi memberikan keselesaan hidup kepada rakyat, bahkan kemungkinan dengan pembangunan itu, ekonomi rakyat akan bertambah baik lagi dengan munculnya peluang-peluang lain. Akan tetapi PAS dalam masa yang sama juga bertegas atas pentingnya membezakan pembangunan yang utama yang mesti disegerakan dengan pembangunan yang boleh dikemudiankan pelaksanaannya.

Contoh yang paling baik bagi daerah Kemaman ialah keperluan mendesak dan segera yang mesti kerajaan tumpukan sekarang ialah pembinaan sebuah hospital daerah. Sudah sekian lama hospital itu dijanjikan oleh kerajaan, namun sebatang tiangpun masih belum dilihat kelibatnya. Dengan rungutan bukan sahaja daripada rakyat, malah daripada kakitangan hospital sendiri dengan mengatakan kemudahan hospital daerah sekarang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

Antara aduan yang diterima ialah bilangan katil yang tidak memenuhi nisbah penduduk, kawasan parkir yang sempit, keperluan menambah bilangan doktor-doktor terutamanya doktor pakar, jelas hospital daerah adalah satu keperluan mendesak yang perlu disegerakan oleh pemerintah. Malangnya, harapan menggunung rakyat Kemaman ini, tidak menjadi kenyataan hasil daripada sikap pemimpin Umno yang lebih gemar mempolitikkan kesihatan rakyat bagi menjadikannya gula-gula pilihan raya sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Umno kepada pembinaan hospital daerah Dungun yang dikira cukup lama rakyat Dungun menanti wang mereka digunakan bagi pembinaan hospital tersebut.

Rakyat Terengganu mesti berusaha untuk tidak selama-lamanya menjadikan diri mereka sebagai bahan mainan kepada Umno dan BN yang mana, rakyat akan dipermain-mainkan apabila menjelang pilihan raya. Seolah-olah wang rakyat yang Umno kutip itu adalah hak milik mereka dan hanya mereka yang menjadi penentu kepada siapa wang itu boleh diberikan faedahnya. Sedangkan rakyat mesti sedar bahawa, tidaklah dinamakan pintar jika wang kepunyaan rakyat digunakan kembali untuk mengugut rakyat. Begitulah malangnya nasib rakyat yang berketuakan golongan yang korup.

Oleh itu, PAS Terengganu mendesak kerajaan sama ada negeri mahupun pusat agar segera mengutamakan pembinaan hospital daerah bagi Kemaman demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik bagi rakyat, terutama golongan yang tidak mampu untuk membayar caj perkhidmatan di hospital swasta. Tidaklah PAS menafikan kepentingan IPD yang baharu, tetapi kami yakin dan percaya hospital adalah lebih utama dan diperlukan diketika ini, apatah lagi ianya telahpun dijanjikan sejak dahulu lagi. Wallahua’lam.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
24 Zulhijjah 1438 / 14 September 2017 – HARAKAHDAILY 14/9/2017