Malaysia dah kayakah?

APABILA DS Najib kata kehadiran beliau ke Amerika Syarikat untuk  membantu ekonomi negara tersebut. Semua orang yang waras menjadi bingung. Negara kecil bantu negara besar. Ini satu perkara pelik di dalam dunia.   

Advertisement

Kalau Donald Trump kata ia hendak bantu Malaysia ada kemunasabahan juga. Malaysia sudah kayakah? Kalau kaya sudah tentu 49.9 peratus saham Proton tidak dijual kepada syarikat Zhejiang Geely China. Sudah tentu IPP juga tidak dijual kepada orang. Projek kereta api Pantai Timur tidak dimajukan oleh syarikat daripada China.

Kalau sudah kaya sangat tidak adalah rungutan daripada DS Najib Tun Razak, jika tidak ada GST,maka negara akan bankrap. Hutang 1MDB, masih tidak selesai.

Pelajar-pelajar cemerlang tidak lagi dihantar ke luar negara seperti dulu. Semua jabatan kerajaan merungut kerana kekurangan bajet. Hospital kerajaan juga mengalami masalah yang sama.  

Bermula tahun ini, 2600 doktor pelatih hanya diletakkan status kontrak. Semua ini apa petandanya? Wang pula daripada lubuk emas iaitu KWSP. KWSP adalah tabung nyawa yang sering diguna oleh kepimpinan kerajaan BN, termasuklah zaman Tun Dr Mahathir sendiri. Sedangkan ini tabung simpanan hari tua. Pekerja dan majikan pula wajib menabung seperti wali mujbir.

KWSP dijangka melabur hampir AS10 bilion. Bukan satu angka yang kecil. Apakah jaminan keuntungan yang lebih untuk dipulangkan kepada penyimpan. Apakah tidak ada tempat untuk KWSP melabur di negara ini supaya dapat merangsang ekonomi negara.

Nampaknya tidak serik-serik lagi, Malaysia dengan Amerika Syarikat. Sebelumnya beratus juta hangus  apabila TPPA dibatalkan oleh Trump

Apakah pelaburan ini atas nasihat Jawatankuasa Pelaburan KWSP atau kehendak DS Najib. Apakah kajian sudah dibuat secara mendalam. Kita tidak mahu, kera di hutan disusukan, anak dikendong kelaparan.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
15 September 2017 – HARAKAHDAILY 14/9/2017