Sekular PH mahu ganti sekular BN

BIARPUN pemimpin Pakatan Harapan (PH) bermatian mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, namun ia sekadar mahu menggantikan kepada kerajaan sekular baharu.  

Advertisement

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, PH hanya sekadar menggantikan kerajaan sekular sekarang kepada sekular mengikut acuan mereka.

Ini kerana katanya, perjuangan PH lebih berkiblat kepada sekular dengan mengenepikan soal agama dalam kehidupan.

“Kita bimbang apa yang berlaku sekarang PH mahu menggantikan kerajaan sekular BN kepada sekular baharu dengan didominasi parti terbabit,” katanya pada ceramah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat Kota Bharu malam tadi.

Hadir sama Adun Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat, Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman dan jawatankuasa Majlis Tindakan Dun Bunut Payong.

Pada muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Alor Setar akhir April lepas, Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob bimbang perjuangan sekular baharu menggantikan sekular BN pada PRU akan datang.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, perjuangan sekular PH semakin jelas apabila mereka menyokong pindaan Akta 164 di parlimen Ogos lepas yang akan menghakis bidang kuasa mahkamah syariah. – HARAKAHDAILY 14/9/2017