Arsenik udang dan vitamin C

MINGGU ini berlegar cerita seorang pesakit yang maut akibat memakan udang bersama dengan suplimen vitamin C. Katanya kejadian itu telah disahkan oleh seorang profesor sekolah perubatan. Konklusi yang mereka buat adalah jangan sesekali campurkan serentak makanan laut seperti udang dengan vitamin C. Kononnya arsenik yang terdapat dalam udang akan terurai menjadi racun merbahaya sehingga membolehkan mangsa berdarah melalui mulut, hidung dan telinga apabila dicampurkan dengan vitamin C.

Advertisement

dr suhazeliSungguh menakutkan. Saya naik risau sebab saya suka sangat makan udang bakar yang diperah limau nipis yang tinggi zat vitamin C itu. Jawapan ringkas yang boleh saya nyatakan adalah, tulisan berkenaan tidak benar sama sekali. Biasanya tulisan tular sebegini akan memberi maklumat yang tragis seperti kematian mengejut, ngeri dan doktor terperanjat dengan penemuan itu. Sedangkan jika kita perhatikan kaedah pemberitaan yang benar, sudah tentu wajib dinyatakan di mana kejadian itu berlaku, tahun bila dan siapa yang terlibat. Kematian yang di luar kebiasaan ini sepatutnya akan tersiar dalam saluran media yang berwibawa. Namun cerita mautnya wanita tersebut di pagi hari setelah makan malam bermenu udang dan pengamal suplimen vitamin C itu hanya berlegar di dunia maya tanpa kesahihan.

Tulisan berkenaan telah melebar dalam sebaran email sejak dari tahun 2001 lagi. Versi Bahasa Inggeris, kemudian dialih Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu. Sejak wujudnya dunia wasap dan telegram, versi yang sama disalin-tampal oleh para netizen tanpa usul periksa implikasi dari sebaran tersebut.

Haiwan laut seperti udang mempunyai arsenik organik (semulajadi), tidak dinafikan. Tetapi kandungannya adalah sedikit antara <1 hingga 100mg/kg. Ikan air tawar juga mengandungi arsenik organik ini, kurang dari 1mg/kg.[1] Arsenik tersebut tidak menimbulkan bahaya kepada manusia kerana kita makan udang dalam jumlah terhad, bukannya sekali makan berlori-lori.

Perlu diketahui juga, keracunan arsenik dari logam yang makanan tercemar mempunyai tanda berbeza dengan kes penceritaan di atas. Tanda-tanda keracunan arsenik mengambil masa yang lama, bukannya akut. Tandanya seperti pening, keliru, cirit-birit dan berpinar-pinar. Ianya bukan penyebab kepada perdarahan atau salur darah tersumbat. Dalam jangka waktu yang agak lama, seseorang yang mengalami keracunan arsenik boleh dilihat melalui kukunya bergaris putih, rambut gugur dan sawan.

Kehadiran vitamin C yang banyak boleh mengurai arsenik organik kepada pentaoksida kepada trioksida. Akan tetapi ianya perlu dalam jumlah berkilo-kilo vitamin C dan berkilo-kilo udang yang boleh mendatangkan kesan bahaya kepada tubuh. Adakah kita makan sedemikian? Mentekedarah namanya!

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli

15.9.2017
Kuala Nerus

Pautan
[1] Lau et al., 1987; Friberg et al., 1986; WHO, 1981; Ministry of Agriculture, Fisheries and Food, 1982; Dabeka et al. Online. http://www.inchem.org/documents/ehc/ehc/ehc224.htm