PAS Kedah lapor polis kebiadaban Siti Kasim

ALOR SETAR: Keceluparan serta kebiadapan Siti Kasim dan David Orok secara terang-terangan telah mempersenda Islam, Nabi-nabi dan cuba mengaburi kebenaran yang termaktub di dalam Al-Quran Nur-Karim, sehubungan itu satu laporan polis dibuat bersama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini. 
 
Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Salim Mahmood mengharapkan, susulan tindakan laporan polis itu satu siasatan berasaskan prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas dua individu berkenaan dapat disegerakan di samping tindakan yang wajar perlu diambil. 
 
“Kami berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera agar perkara yang sama tidak berulang pada masa akan datang,” tegas beliau. 
 
Sementara Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali menyifatkan tulisan Siti Kasim yang disokong oleh David Orok itu amat biadap yang bukan sahaja boleh menyesatkan orang lain, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dan rasa permusuhan antara agama. 
 
 Kebiadapan beliau disokong David Orok itu mengatakan ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam menjelang Eidul Adha sekadar mewarisi perbuatan dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tanpa mengetahui maksud tujuannya. 
 
Siti Kasim menyifatkan pelaksanaannya sebagai membuta tuli dan penyembelihan korban itu satu perbuatan yang tidak bermoral terhadap haiwan dan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 15/9/2017
Advertisement