PAS Terengganu hilang aktivis gigih

BEKAS penulis yang juga kakitangan Harakah pada era 1989, Mohd Nasir Awang, 52, meninggal pagi semalam di rumahnya Kampung Air Tawar, Besut.

Advertisement

Beliau menderita penyakit kanser usus sejak dua tahun lalu. Pernah berulang alik menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Arwah juga bekas kolumnis di majalah Muslimah, Tamadun dan beberapa majalah ilmiah lain.

Beliau juga pernah terlibat sebagai wartawan penyiaran siaran berita atas talian Urusetia Penerangan Kerajaan Terengganu dan Pustaka UPKNT Siaran Darul Iman semasa PAS mentadbir Terengganu.

Allahyarham juga bekas Setiausaha PAS Besut dan mantan Pengerusi Tetap PAS sebelum mengundurkan diri kerana masalah kesihatan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang menyifatkan pemergian allahyarham suatu kehilangan besar kepada PAS Terengganu dan PAS Besut.

“Ini kerana allahyarham pernah menjadi tenaga penggerak parti yang berjaya terutama dalam bidang penerangan isu dan penulisan,” katanya di sini.

Solat jenazahnya diimamkan anaknya Omar Bashir di Masjid Tengku Zainal Long, Kampung Air Tawar, selepas solat Asar.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, Kota Putera, Besut. – HARAKAHDAILY 15/9/2017