PAS tegas bantah penganjuran BBF17, penganjur tiada sensitiviti

PAS sekali lagi mengulangi ketegasan membantah penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17) yang akan dianjurkan pada awal Oktober depan di Kuala Lumpur. Ini berikutan kenyataan exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang bertegas mahu meneruskan pesta arak tersebut.

Advertisement

nasrudin3Pesta arak yang menampilkan 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak dengan sasaran 6,000 orang pengunjung itu tidak sepatutnya diteruskan memandangkan pesta minuman beralkohol itu hanya membawa kemudaratan. Tambahan pula, pengambilan arak bukanlah budaya ketimuran bahkan turut dilarang dalam agama.

Agama Islam sangat tegas dalam isu pengambilan arak. Nabi SAW bersabda bahawasanya “arak adalah ibu segala kejahatan” dan masyarakat hari ini sudah tentu menyedari kesan negatif daripada pengambilan minuman beralkohol ini. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa seseorang malah mengancam keselamatan masyarakat dengan mendorong pelbagai jenayah seksual dan keganasan yang lain.

Lantaran itu ia disebutkan “ibu” kepada segala kejahatan dan kerosakan. Pelbagai kes-kes sosial hari ini turut timbul disebabkan pengambilan minuman beralkohol. Di UK, 45-46 peratus kejadian jenayah berpunca daripada alkohol.

Meskipun pesta ini tidak sama sekali melibatkan orang Islam, ia tidak menjamin ancaman keselamatan yang akan timbul disebabkan pengambilan arak. Apatah lagi acara tersebut dilakukan dalam sebuah pesta yang disifatkan sebagai “the biggest celebration of the craft beer revolution in Malaysia”.

Jelas tiada manfaat daripada penganjuran pesta berkenaan malah sebaliknya pesta ini secara tidak langsung pula mempromosi pengambilan minuman beralkohol di Malaysia.

Ketika arak menjadi ancaman di peringkat global dengan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan suatu laporan bertajuk “Global Strategy to Reduce the Harmful Use of Alcohol” pada 2010, tiba-tiba hari ini Malaysia mengambil langkah mengundur ke belakang untuk mempromosi secara besar-besaran minuman beralkohol tersebut.

Persoalannya, apa yang mahu kita tunjukkan kepada masyarakat di luar? Sedangkan banyak lagi keunikan negara yang boleh diserlahkan untuk dicontohi negara luar. Malah, majoriti agama-agama yang dianuti oleh masyarakat di Malaysia turut menolak pengambilan arak, justeru mengapa perlu ia dipertahankan?

PAS akan terus bertegas bahawa pesta tersebut perlu dibatalkan serta-merta. Pihak penganjur jelas tiada sensitiviti terhadap umat Islam di Malaysia. PAS juga berharap agar pihak bertanggungjawab menghalang daripada acara ini dari diteruskan dan PAS tiada kompromi dengan pihak yang menganjurkan pesta berkenaan.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/9/2017