Sekolah tahfiz: Menjawab saranan Zainuddin Maidin dan sekutunya

KEBAKARAN yang meragut nyawa pelajar Maahad Ittifaqiah Keramat seolah-olah menjadi ruang pembelasahan tanpa belas kasihan oleh kelompok sekular liberal dan agamawan peseudo liberal negara ini. Mereka menerjang dan menghujam seolah semua sekolah agama rakyat sangat naif dan cuai dalam aspek pengurusan keselamatan dan tidak mematuhi SOP pihak berwajib. Kemuncak generalisasi ini ialah saranan supaya sekolah tahfiz ditutup!.

Advertisement

riduan1Saya membaca ratusan komen negatif terhadap institusi pengajian tahfiz dan saranan bekas menteri di zaman Dr Mahathir, Zainuddin Maidin sangat menunjal akal saya. Zam bekas wartawan yang sangat tegar menentang PAS dan apa sahaja berlatarbelakangkan gerakan Islam. Di zaman beliau mengepalai akhbar Utusan Malaysia, beliau mengunakan nama samaran Awang Selamat dan tak jemu menggodam apa sahaja yang ada kaitan dengan dakwah dan gerakan Islam. Pernah melabelkan kebangkitan pelajar Islam di kampus sebagai “fenomena pondok di kampus”, bahkan akhbar Utusan Malaysia biasa disaman kerana penghinaan pada tokoh agama.

Zam perlu tahu mengapa sekolah tahfiz menjadi tarikan pesona kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak belajar agama. Menarik juga kerana sebahagian besar yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz mahu pun sekolah agama rakyat ialah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan. Mereka tidak naif sebagaimana sangkaan Zam dan yang seangkatan dengannya. Euforia Islami dengan pengamalan agama di maahad tahfiz akan mengacuankan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa dan penjaga. Kita seharusnya jujur melihat kegagalan pendidikan arus perdana negara ini. Kadar kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 10 tahun terakhir ini melebihi 503 000 orang, kadar penagihan dadah yang mencanak, gejala buta al Quran dan seribu satu fenomena kebejatan akhlak yang merupakan produk pendidikan arus perdana hari ini.

Impak daripada kebejatan sosial dan fenomena buta al Quran itulah maka ibubapa melihat ke arah pendidikan alternatif, iaitu sekolah tahfiz. Sekolah tahfiz menjadi tarikan masyarakat dalam dua dekad terakhir ini, terutama usaha gigih para asatizah muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan Sub Continent. Kerajaan Kelantan sebagai contoh antara pemicu utama menggalakkan sekolah tahfiz integrasi sehingga melahirkan pendidikan gabungjalin antara sains dan al Quran. Idea Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini akhirnya meletus fenomena tahfiz sains di seluruh negara termasuk usaha ini diterjemahkan di Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Masyarakat harus memahami betapa sukarnya untuk mengeoperasikan sekolah-sekolah tahfiz yang termasuk dalam kategori Sekolah agama rakyat. Zam jangan pernah lupa apa yang berlaku di zaman rejim Mahathir dengan sekatan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat. Para penggerak SAR termasuk maahad tahfiz berkeringat dan menebalkan muka untuk mencari dana untuk menggerakkan pendidikan Islam ini. Tidak kecil hujaman dan ujian bertindan tindih kepada sekolah tahfiz, bahkan termasuk Mufti populis yang menghujat sekolah tahfiz dan penggeraknya.

Jika ada kes kesalahan moral, maka sekolah tahfiz akan menjadi penghias muka depan akhbar. Dalam isu kebakaran di Maahad Ittifaqiah Keramat ini, seolah menjadi peluru dan “punching bag” kepada seluruh sekolah dan institusi tahfiz negara ini. Diungkit tentang tak patuh SOP keselamatan kebakaran dan piawaian bangunan. Semua kita ingin berlindung daripada bencana, tiada yang ingin menjemputnya bertandang. Sebagainya contoh tempat paling gah dengan keselamatan negara ini, iaitu ibu pejabat Polis Bukit Aman pernah terbakar!, bahkan 19 buah hospital di negara kita pernah terbakar dan mengorbankan nyawa pesakit di antara tahun 1990 sehingga tahun 2016. Jangan lupa kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu yang mengorbankan enam jiwa. Tak kurang premis awam, juga kampus serta sekolah-sekolah kerajaan yang mengalami kebakaran. Adakah Tan Sri Zainuddin tergamak mengutarakan saranan supaya dihentikan operasi?

Berpada-padalah dalam menghujam sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz. Kewujudan institusi ini sedikit sebanyak meringankan beban kerajaan dalam sektor pendidikan. Seharusnya polemik tentang sekolah tahfiz ini meruak aura positif kita tentang keperluan untuk memberdayakan pendidikan Islam. Dalam peruntukan bajet tahunan, pemerintah wajib memberikan peruntukan pembangunan prasarana, pengupayaan kepada sekolah tahfiz. Sudah lama sekolah agama rakyat dianaktirikan pemerintah bahkan masyarakat kita sendiri yang hanya pandai berkomentar. Bercerminlah!, jangan santri dan asatizah sekolah tahfiz hanya dicari ketika kematian dan doa selamat. Kita boleh belajar daripada negara Turki yang mampu membangunkan institusi sekolah tahfiz mereka sehingga berjaya memupuk kefahaman Islam yang semakin baik kepada generasi muda. Al Quran adalah mukjizat dan percayalah ianya ubat mujarab untuk menyembuhkan negara kita daripada kebobrokan dan kebejatan sosial. – HARAKAHDAILY 16/9/2017