Usah tuding jari semberono pada maahad tahfiz

ALOR SETAR: Badan Perhubungan PAS Kedah, Dewan-Dewan Negeri serta seluruh pemimpin dan ahli PAS semua peringkat negeri ini merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris para pelajar Maahad Tahfiz Ittifaqiah, Keramat, yang terkorban syahid akibat kebakaran pada 14 September lalu.

Advertisement

Menurut Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, kejadian tragis yang mengorbankan lebih 20 mangsa itu perlu dibuat siasatan terperinci untuk mengetahui punca tragedi berkenaan berlaku.

“Tidak perlu menuding jari semborono mengungkit kelemahan pengurusan madrasah, sepatutnya Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa negeri mengambil peranan membantu meningkatkan mutu keselamatan sekolah-sekolah seumpama itu,” kata beliau.

Lebih dikesali beliau, terdapat pihak tertentu ‘menangguk di air keruh’ memperlekeh institusi pendidikan tahfiz, pondok-pondok mahu pun sekolah agama rakyat, sedangkan mereka terlupa institusi pendidikan berkenaan beroperasi tanpa bantuan kerajaan, namun masih utuh dengan sumbangan orang ramai yang cintakan kepada pendidikan Islam.

“Tidak seharusnya kritikan pedas tidak berhemah itu dilemparkan disaat para waris mangsa sedang bersedih.Sekurang-kurangnya, simpan sedikit rasa simpati kepada mereka yang ditimpa ujian itu, kalau pun anti sangat dengan pendidikan Islam,” ujar Dr Ahmad lagi.

Beliau turut mengimbau peristiwa sama yang pernah berlaku di Madrasah At-Taufiqiah Al-Halimiah, Padang Lumat, 27 tahun lalu.

Katanya, walaupun kebakaran itu melibatkan nyawa yang terkorban, namun sekolah terbabit tetap beroperasi dan mendapat sambutan dari masyarakat hingga kini. – HARAKAHDAILY 16/9/2017