Rohingya: Kisah adik Nurul Hasan

ADIK Nurul Hasan bin Nurul Husain (16 tahun) sampai di Teknaf bersama ayahnya dari Maungdaw 14 September selepas berjalan kaki dan menaiki bot selama 4 hari. 
 
Dalam perjalanan, Nurul Hasan mengalami serangan strok dan seluruh badannya menjadi kaku dan kejang. Dia tak dapat minum dan makan sejak tiga hari sebelumnya kerana serangan strok itu menyebabkan mulutnya tidak dapat dibuka.
 
Keluarga ini tidak tahu hendak tuju ke mana selepas tiba di Teknaf dan mereka duduk di tepi jalan raya (sebelum Pekan Teknaf)  sehingga ke petang Jumaat, 15 September. Ibunya tidak melepaskan usapan tangan di atas kepala Nurul Hasan sambil berdoa untuk kesembuhannya. 
 
Kelihatan ayahnya semakin sugul tetapi tenang diwajahnya memegang tangan Nurul Hasan yang tidak lagi dapat berkata-kata sambil dikelilingi tiga adiknya.
 
Bersama keluarga ini juga, 4 adik beradik lain dan salah seorangnya bernama Sumayyah (sama nama dengan anak ketiga saya) kelihatan membisu duduk bersimpuh di atas alas guni di tepi jalan ini dengan keluarga Nurul Hasan. 
 
Rupanya dua keluarga ini datang jauh bersama dari Maugdaw dan mereka adalah jiran di kampung halaman sana. 
 
Saya bertanya di mana ibu ayah kamu? Sayu, sedih… dalam linngan air mata, anak sulung keluarga ini menceritakan. Rumah mereka diserang tentera Myanmar, kedua ibu ayah dibunuh dan dibakar. Innalillah, Allahuakbar! Saya tidak mampu berkata apa-apa lagi, habis bicara di situ.
 
Sahabat saya, Zulhanis Zainol (MAPIM)  dan Mohd Hakim Md Nor (Serantau Muslim) juga kaku dan terkedu sambil saya melihat mata mereka juga terpejam seketika kepiluan. Sayu dan sedih tidak dapat lagi disembunyikan.
 
Saya meminta Ustaz Mohd Ayas (Penasihat Cooperation for Humanitarian Activities – CHA) yang bersama saya sepanjang misi di sini supaya beliau segera bertanya warga tempatan (Bangladesh) yang semakin ramai mengilingi kami, jika ada sesiapa yang punya kenderaan van untuk disewa supaya menghantar segera Nurul Hasan ke klinik terdekat iaitu di Khutupalong. 
 
Selepas 15 minit kemudian, datang sebuah van seorang penduduk tempatan dan anak-anak muda warga tempatan segera mengangkat Nurul Hasan masuk ke dalam van dan segala barang yang dibawa kedua keluarga ini. Kedua keluarga ini bersama-sama menaiki van tersebut dan terus di bawa ke klinik Khutupalong.
 
Ustaz Mohd Ayas juga menghubungi, sukarelawan CHA, Ismail untuk menguruskan keluarga ini menumpang tidur di Kem Pelarian Khutupalong yang sudahpun menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya lama dan baru berlindung di situ. Mereka lari dari wilayah Arakan apabila kampung halaman dimusnahkan dan kaum keluarga mereka dibunuh atau di tangkap oleh rejim tentera Myanmar dalam tindakan penghapusan etnik ke atas warga Rohingya sejak sekian lama.
 
Pembersihan etnik warga muslim Rohingya ini terus bermaharajela dan kemuncaknya bermula 25 Ogos lalu selepas dunia terus diam membisu, membutakan mata dan memekakkan telinga atas keganasan rejim Myanmar itu.
 
Kami bergerak pulang menyusuri di belakang van yang membawa adik Nurul Hasan di laluan jalan sempit perbatasan dan pesisir Sungai Naf yang telah menjadi saksi kesengsaraan, tangisan dan kepiluan saudaraku Rohingya sejak sekian lama.
 
AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Teknaf, Bangladesh – HARAKAHDAILY 17/9/2017
Advertisement