Hari Malaysia, PAS dan kita

PEMBENTUKAN Malaysia dan Peralihan Fokus British

Advertisement

British menyarankan agar ‘dikahwinkan’ Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak memandangkan wilayah-wilayah ini mempunyai beberapa persamaan: sebagai anak jajahan British (colonies), Protektorat (wilayah lindungan British), mempunyai sistem kerajaan dan perkhidmatan awam yang sama.

Pembentukan Gagasan Malaysia didorong oleh beberapa faktor;

1. Hasrat British mengurangkan komitmen mereka di luar negara
2. Kemelesetan ekonomi dunia
3. Penumpuan British terhadap Palestin dan Hong Kong
4. Kejatuhan Uthmaniyah
5. Kemunculan Amerika Syarikat sebagai pesaing kuasa besar
6. Tuntutan anak jajahan
Termasuk juga faktor dalaman, antaranya
7. Ancaman komunis/Clandestine Communist Organisation  (CCO) di Sarawak
8. Ancaman Indonesia Soekarno terhadap Sarawak

Dalam era 1950-an, bukan sahaja berlaku kebangkitan di Tanah Melayu, bahkan Sarawak juga diam-diam telah mengintai ruang untuk mencapai taraf sebuah wilayah yang merdeka.

Tiada Persefahaman Bersama

Pada asalnya Sarawak menimbangkan kebarangkalian untuk membentuk sebuah Persekutuan yang hanya terdiri dari kalangan negara-negara di Kepulauan Borneo; Sarawak, Borneo Utara(Sabah) dan Brunei.

Dalam masa yang sama Parti Rakyat Brunei yang ditubuhkan 1956, dipimpin oleh AM Azahari mempunyai aspirasi tersendiri untuk menubuhkan NKKU(Negara Kesatuan Kalimantan Utara) yang menggabungkan Sarawak, Brunei dan Borneo Utara dengan mendaulatkan kekuasaan Sultan Brunei.

Walaubagaimanapun hasrat Sarawak dan Parti dari Brunei ini menemui kegagalan.

Antara Laporan Cobbold dan Pandangan PAS terhadap pembentukan Persekutuan baru

27 Mei 1961:
Tunku Abdul Rahman dalam satu sidang akhbar di Singapura telah mengemukakan sebuah tawaran yang agak mengejutkan; penubuhan sebuah persekutuan yang menggabungkan Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

24 Ogos 1961:
Mesyuarat ‘Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia’ atau ‘Malaysia Solidarity Consultative Committee” (MSCC) dijalankan buat kali pertama di Jesselton (kini Kota Kinabalu).

MSCC telah mengadakan 4 kali mesyuarat bagi membincangkan pembentukan sebuah Persekutuan baru.

Laporan Cobbold
Suruhanjaya Cobbold telah melakukan tinjauan dan kunjungan ke wilayah berkaitan bagi mempromosikan gagasan Melayu Raya sekaligus menjernihkan sebarang pertikaian yang ditimbulkan penduduk tempatan. Akan tetapi dikatakan sebahagian Laporan Cobbold tidak benar-benar telus khususnya berkaitan culaan ke atas penduduk Brunei Darussalam. Demikian dakwaan AM Azahari yang membawa suara pembelaan akar umbi. Dikatakan culaan yang dijalankan tidak menyeluruh dan hanya cenderung kepada prospek yang pro kepada idea gagasan Melayu Raya.

Pandangan PAS
15 Oktober 1961: Mesyuarat Agung Khas PAS kali ke-2 telah diadakan bertujuan membahaskan isu Melayu Raya (Persekutuan Malaysia) yang diumumkan Tunku Abdul Rahman di Singapura (27/5/1961).

Gabungan karakter Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang nostalgis dan Dr. Zulkifli Muhammad yang strategis telah mencetuskan kehangatan perbahasan para perwakilan PAS.

i.Nostalgis Dr Burhanuddin Al-Helmy
Ucapan beliau dalam mesyuarat tersebut menyentuh betapa isu Melayu Raya telah lama diperjuangkan ‘tokoh kebangsaan kita’. Antara anekdot yang disebutkan beliau;

1945: Bermula perjuangan gagasan Melayu Raya oleh Dr. Burhanuddin (sebelum kemerdekaan Tanah Melayu).

1946: Buku nukilan Dr. Burhanuddin bertajuk “Perjuangan Kita” dan “Falsafah Kebangsaan Melayu” mengulas tentang Melayu Raya dengan panjang lebar.

1950: Akhbar bertajuk “Melayu Raya” diterbitkan di Singapura dengan Dr. Burhanuddin sebagai ketua pengarang.

ii. Strategis Dr. Zulkifli Muhammad

“Kedudukan Kerakyatan (persekutuan baru) berkait rapat dengan Asas Politik kita.” Lebih kurang begitu mafhum pembentangan kertas kerja Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.

Beliau mendatangkan perincian data secara khusus menyentuh persoalan status kerakyatan Persekutuan Malaysia yang bakal dibentuk menurut aspirasi Tunku Abdul Rahman. Unjuran tersebut menyebutkan pertambahan kaum bukan melayu yang majoriti berbanding kaum melayu seperti berikut:

i.Pertambahan Bukan Melayu
Singapura: 1 384100
Sarawak, Borneo Utara & Brunei: 500 000

ii.Pertambahan Melayu
Singapura: 227 300
Sarawak, Borneo Utara & Brunei: 750 000

*kertas kerja tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat khas 15 Oktober berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang diadakan sehari sebelumnya, 14 Oktober 1961.

Unjuran tersebut menggambarkan kesan ketidak-imbangan populasi Malaysia yang akan mempengaruhi corak politik PAS dan nasib keturunan Melayu berbanding sebelum penubuhan Malaysia.

Bagi mengukuhkan kuasa politik Melayu, di kalangan perwakilan mencadangkan agar pembentukan Persekutuan Melayu Raya (Malaysia) bukan sahaja dianggotai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara, bahkan disertai juga Republik Indonesia dan gugusan Pulau-Pulau Melayu lain termasuk Filipina.

Debat Parlimen, Dewan Rakyat

16 Oktober 1961:
Sehari selepas berlangsung Mesyuarat Khas kali ke-2 PAS, Dr. Burhanuddin mengusulkan pindaan ke atas usul kerajaan yang bertujuan untuk mendapatkan mandat Dewan Rakyat bagi membentuk Malaysia. Beliau mengusulkan agar dimasukkan “Republik Indonesia dan Filipina serta gugusan Pulau Melayu yang lain” sebagai anggota Malaysia. Usaha awal PAS ini menemui kegagalan.

1 Mei 1962:
Beliau kemudiannya membawa usul persendirian bagi mendesak sidang Dewan Rakyat menetapkan bahawa “hendaklah dimasukkan di dalam rancangan Melayu Raya ini daerah-daerah Indonesia dan Filipina. Usul ini bagaimanapun telah dikalahkan.

Pertembungan Sengit 1962

PAS bukan parti tunggal yang menolak pembentukan Malaysia.

Di Brunei, Parti Rakyat Brunei melancarkan “Pemberontakan Disember” pada tanggal 8 Disember 1962. British Komanwel memenangi pertempuran tersebut.

‘Pemberontakan Disember’ mendorong Indonesia melancarkan Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada penghujung 1962 yang berakhir dengan perdamaian 1966.

Dalam tempoh Konfrontasi tersebut, Sukarno melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’ pada awal 1963.

Pemulauan Sukarno terhadap Suruhanjaya Cobbold, tuntutan Filipina ke atas Sabah atas dakwaan warisan Kesultanan Sulu, menyebabkan suasana politik ketika itu bertambah tegang.

Konfrontasi yang asalnya bersifat perang dingin akhirnya berubah menjadi konfrontasi ketenteraan. Para gerila Indonesia mula menyelinap masuk Malaysia dan melancarkan serangan.

Filipina turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Kesan kepada PAS

Akibat dari kerosakan yang dialami Malaysia lanjutan penolakan Indonesia dan Filipina terhadap pembentukan Malaysia, PAS yang berpendirian menolak semata-mata penggabungan Tanah Melayu bersama Kalimantan Utara tanpa menyertakan gugusan Pulau Melayu yang lain turut terkena tempiasnya.

a.PAS telah dituduh bekerjasama dengan Indonesia dalam dasar konfrontasi terhadap Malaysia.

b.Pemimpin PAS dicap sebagai pengkhianat negara.

c.Prestasi PAS dalam PRU-3 1964 merudum teruk

d.Dr. Burhanuddin Al-Helmy hilang kelayakan bertanding PRU 1964

e.Kerusi asal Dr. Burhanuddin (Besut) berjaya dipertahankan PAS hanya dengan majoriti tipis sebanyak 136 undi

f.PAS hanya menang 9/53 kerusi parlimen dan 25/158 kerusi DUN yang ditandingi.

Lebih mendukacitakan lagi, PAS kehilangan Dr. Zulkifli Muhammad yang terkorban dalam satu nahas jalan raya pada 6 Mei 1964.

g.26 & 28 Januari 1965:
Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan mahu menubuhkan kerajaan buangan di luar negara bagi menggulingkan Kerajaan Malaysia.

Iktibar Sejarah : Ruknun Syadid & Muwajahah Silmiyah

⚪ Dokongan Kaum Kerabat Melindungi Perjuangan

Allah SWT berfirman tentang kisah Nabi Luth a.s ketika baginda tidak kuasa berdepan kesesatan dan ancaman kaumnya,

قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ

(Hud: 80)

“Lut berkata: ‘Seandainya aku mempunyai kekuatan (untuk menolak kalian) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan).”

Ucapan itu lahir kerana Nabi Luth berdakwah kepada kaum yang tiada pertalian kerabat dengannya. Baginda bukan lahir di kalangan kaumnya, dan tidak pula mendapatkan dokongan kerabat yang berkuasa melindunginya. Berbeza dengan Nabi Muhammad SAW contohnya, baginda pernah menerima tawaran perlindungan dari kabilah bani tertentu atas dasar kekeluargaan sekalipun mereka tidak beriman.

Dalam hal ini Rasulullah turut bersabda, maksudnya:

“Rahmat Allah terlimpahkan kepada Luth, sesungguhnya dia telah berlindung di bawah naungan pilar yang kuat, yakni Allah SWT. Ketika Luth berkata kepada kaumnya, ‘Seandainya aku mempunyai kekuatan (untuk menolak kalian) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan).’ Maka Allah tidak sesekali mengutus seorang nabi sesudah Luth, melainkan berasal dari keluarga terhormat di kalangan kaumnya.”

Dalam pendirian PAS yang menentang idea awal penubuhan Malaysia, boleh disimpulkan bahawa penolakan tersebut berlaku kerana ia bakal menggugat kedudukan kaum melayu. PAS mencadangkan agar wilayah umat Islam serantau seperti Indonesia dan Filipina turut digabungkan bersama.

BPMS: Politik Damai & Bersih

14 Februari 1965: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersepakat menolak tindakan peribadi Raja Mohd Hanifah yang mengaku ;

i.Menerima suntikan dana berjumlah RM 105 000 oleh ‘pihak’ Indonesia bagi menghadapi PRU 1964

ii.Menghantar 6 orang pemuda untuk ‘dilatih’ di Indonesia.

iii.Terlibat dalam perundingan menubuhkan kerajaan buangan di Tokyo (Jepun)

iv.Mengatur pemergian beberapa pemimpin tertinggi mereka ke Karachi (Pakistan), untuk menubuhkan kerajaan buangan di sana.

20 & 21 April 1965: Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali ke-13 di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan PAS Kelantan.

Dalam mesyuarat kali ini, Mohd Asri Muda dalam ucapan beliau telah menyingkap kembali latar belakang penentangan PAS terhadap penubuhan Malaysia. Perkara penting yang harus difahami bahawa ;

1. Penentangan tersebut kerana bimbang penubuhan Malaysia membahayakan kekuasaan politik bangsa Melayu

2. Walaupun PAS menentang gagasan Malaysia, PAS tidak sesekali bersedia untuk menggunakan cara-cara yang bertentangan dengan perlembagaan dan lain dari cara-cara demokrasi dalam menuju cita-cita politiknya.

Bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun  ini, marilah kita menjernihkan kembali kefahaman kita terhadap dasar perjuangan PAS yang berpaksikan hukum Islam, menginsafi betapa banyaknya iktibar yang harus kita jadikan sempadan dalam meneruskan langkahan di medan siyasah ini. – HARAKAHDAILY 18/9/2017