Kemasukan Mat Taib bakal gugat Noh Omar?

KEMASUKAN semula bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib  merupakan tamparan hebat kepada Ketua Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar selepas Noh dilihat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak gagal menawan isu-isu di Selangor.

Advertisement

“Apabila diumumkan secara besar-besaran kemasukan Tan Sri Mat Taib semalam seolah-olah Noh Omar ini tidak berupaya untuk menawan Selangor, jadi disebabkan itu Perdana Menteri, Datok Seri Najib Razak membawa masuk mantan menteri besar Selangor itu ke dalam Umno sebab dia (PM) sudah tak yakin dengan Noh Omar,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad kepada Harakah.

Beliau yang ditemui Harakah selepas Program Ramah Mesra bersama Media dan isu-isu terkini Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor yang diadakan di hotel Carlton, Shah Alam hari ini juga menjawab pertanyaan wartawan Harakah mengenai tindakan Noh Omar yang sering menggunakan isu perumahan di Selangor sebagai cubaan untuk menarik perhatian rakyat Selangor mengenai isu tersebut.

Datuk Iskandar berkata, Noh Omar sering menggunakan isu perumahan dan beberapa isu lain sebagai usaha ahli parlimen Tanjung Karang itu untuk menawan kerajaan Selangor.

“Jika benar dia nak tolong rakyat Selangor, sepatutnya dia lakukan dari dulu lagi, bukan waktu nak hampir pilihan raya baru nak ambil berat isu itu dan ini,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar. – HARAKAHDAILY 18/9/2017