Penduduk hilang tanah akibat hakisan

PADANG SERAI: Masalah hakisan dan tebing tanah runtuh memasuki aliran sungai hingga mengakibatkan hampir tiga lot hilang telah menjadi ancaman kepada penduduk Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular, di sini.

Advertisement

Kebimbangan terhadap keadaan itu serta pelbagai risiko yang mungkin berlaku terutama di musim hujan, menyebabkan penduduk tiada pilihan melainkan berpindah menyewa ke tempat lebih selamat.

Memahami seriusnya beban menimpa, Adun Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali turun padang melihat sendiri keadaan sedang dihadapi penduduk terbabit.

Kunjungannya itu bukan sahaja bagi melahirkan keprihatinan dan simpatinya atas kesusahan yang dihadapi penduduk, tetapi juga untuk tindakan segera menangani masalah tersebut.

Beliau melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Merbau Pulas akan mengajukan perkara itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 18/9/2017