Delegasi Indonesia kunjungi Pemuda PAS

KUALA LUMPUR: Hal ehwal umat Islam sejagat dan kemanusiaan terus menjadi perhatian penting oleh badan-badan Islam dalam memastikan ianya diurus dan ditangani ke arah kebaikan.
 
Atas tanggungjawab dan peranan itulah Dewan Pemuda PAS Malaysia sentiasa berusaha menjalin dan meneguhkan hubungan bersama badan Islam yang wujud di seluruh dunia.
 
Atas pertalian akidah yang menyatukan, delegasi Indonesia dari Front Pembela Islam (FPI) diwakili Azwar Djas, Raden Handika dan Tukatno Adinata serta Ketua Annabawi Care (AMC) Kota Dumai, Suherman hadir ke Malaysia.
 
Kedatangan mereka selama tiga hari ke negara ini termasuk dalam rangka menyampaikan dana bantuan melalui kerjasama PAS kepada etnik Rohingya yang tinggal di Komuniti Pelarian Rohingya Ampang.
 
Delegasi tersebut turut membuat kunjungan menemui Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.
 
Pada pertemuan tersebut, ketiga pihak membincangkan pelbagai bentuk kerjasama dari masa ke masa berkaitan krisis-krisis yang meruncing mutakhir ini. – HARAKAHDAILY 20/9/2017
Advertisement