Jenayah: Adakah tanda kegagalan sistem pendidikan?

riduan1

PERLAKUAN jenayah di kalangan pelajar sekolah menampakkan kegagalan sistem pendidikan peringkat arus perdana, demikian menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor.

Advertisement

Katanya, walaupun falsafah pendidikan negara mahu melahirkan insan yang seimbang di sudut jasmani, emosi, rohani dan intektual, perlakuan jenayah di kalangan pelajar terus berlaku.

Malah ujarnya, gejala kerosakan akhlak bermula dari sekolah rendah lagi.

 “Bayangkanlah anak-anak yang  umur belasan tahun sudah terdedah dengan aktiviti gangsterism, budaya porno, tidak menghormati orang tua.

“Ini terlahir daripada aplikasi ragam budaya yang semakin melampau kepada anak-anak sekolah hari ini terutamanya anak-anak remaja” katanya kepada Harakah.

Jadi katanya, Kementerian Pendidikan perlu mengkaji secara menyeluruh antaranya untuk menekan tentang adab dan akhlak dalam pendidikan.

Katanya, walau sekolah di negara ini diperkenalkan subjek J-Qaf, Jawi, Quran  dan Fardu Ain tetapi dari sudut pelaksanaan tidak dilakukan seperti mana subjek teras.

“Biasanya sebelum peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September, namun pada bulan Jun, Julai dan Ogos kita difahamkan kebanyakan guru-guru mata pelajaran teras seperti Metamatik, Sains dan Bahasa Melayu akan membuat pelbagai program untuk para pelajar skor A.

“Dalam masa tiga bulan itu kebanyakan pelajar tidak lagi belajar subjek J-Qaf kerana ia bukan subjek teras,” terangnya.

Beliau berkata, para ibu bapa pula bimbang anak tidak dapat skor A untuk mata pelajaran teras.

Sebaliknya beliau menyatakan, tidak ramai yang peduli tentang kebolehan dan piawaian dalam fardu ain dan al-Quran

Kesannya jelas beliau, kerajaan dilihat menghantar signal yang salah kepada pelajar seolah-olah pendidikan Islam tidak penting.

Dengan itu katanya, akhirnya melahirkan generasi yang terjebak dengan kebobrokan dan kebejatan akhlak sehingga sanggup membunuh dan sebagainya.

Dalam hal ini juga menurutnya, peranan ibu bapa sangat penting untuk mendidik anak-anak mereka  ke arah insan yang berakhlak mulia.

Tambahnya, para ibu bapa tidak boleh menyerah seratus peratus kepada pihak sekolah untuk mendidik anak-anak.

Pada 14 September lalu 7 remaja lelaki berusia 12 hingga 18 tahun disyaki membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini.

Kesemua mereka tercicir dari bangku sekolah dan ada di antara mereka didakwa positif dadah. – HARAKAHDAILY 20/9/2017