Gubal RUU sekat hina Islam di media sosial

KERAJAAN dicadang mengubal undang-undang khusus bagi menyekat dan menghukum pihak yang menghina ajaran Islam di media sosial.

Advertisement

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak berkata, hukuman boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati menghina Islam.

Katanya, mereka termasuk orang Islam, non-muslim dan pertubuhan bukan kerajaan yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

“PAS mendesak satu rang undang-undang (RUU) khusus digubal bagi menyekat dan menghukum mana-mana individu atau pertubuhan yang bermaksud mengembangkan rasa hina dan benci terhadap Islam atau institusi Islam di negara ini,” katanya di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian selepas Badan Perhubungan PAS Terengganu membuat laporan polis terhadap peguam Siti Kasim dan David Orok di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu.

Laporan polis itu dibuat berikutan Siti Kasim dan David Orok didakwa menulis di media sosial yang dianggap sebagai penghinaan terhadap Nabi Ibrahim a.s dan Islam.

Laporan polis terhadap individu terbabit dilaporkan Harakahdaily dibuat PAS di seluruh negara.

Berikutan itu Siti Kasim dilapor memberi tempoh 48 jam kepada PAS dan Harakahdaily untuk memohon maaf kerana didakwa memfitnahnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2017