Pemikiran bekas KPN ketinggalan zaman

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah amat terkejut dan kecewa dengan kenyataan terbaru Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, yang juga bekas Ketua Polis Negara yang seolah-olah mempertikai Islam sebagai agama Rasmi persekutuan dan Negeri Sabah.

Advertisement

Saya beranggapan kenyataan seumpama ini tidak seharusnya keluar daripada seorang yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Kenyataan seumpama inilah yang boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan dalam masyarakat. Perkara yang sudah diselesaikan oleh kepimpinan negara dan negeri, diungkit dan dijadikan modal dalam mana-mana forum.

Saya yakin kenyataan ini berniat jahat dan cuba untuk memburukkan agama Islam. Tidak sepatutnya perkara yang sudah selesai lama ditimbulkan semula. Lebih baik Rahim Noor membangkitkan soal pembangunan, kemunduran, kemiskinan dan seumpama dengan itu.

Rahim Noor juga kemungkinannya tidak mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat Sabah. Kehidupan masyarakat Sabah sangat makmur dan harmoni. Kepelbagaian kaum dan agama ini sudah menjadi kebiasaan. Sehinggakan kadangkalanya dalam sebuah rumah boleh terdapat pelbagai agama.

Pemikiran seumpama Rahim Noor ini amat bahaya. Inilah nanti yang boleh menyebabkan ada segelintir rakyat mahu supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Saya berpandangan inilah agenda Rahim Noor. Lebih suka melihat konflik berbanding keamanan dan keharmonian.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
30 Zulhijjah 1438/21 September 2017 – HARAKAHDAILY 21/9/2017