Perutusan MB Kelantan sempena tahun Hijri 1439

PERUTUSAN YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA AWAL TAHUN BARU HIJRI 1439 DAN SAMBUTAN HIJRATUL RASUL

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad); beramallah kamu, nescaya Allah akan melihat apa yang kamu lakukan. Ia turut dilihat oleh RasulNya serta orang-orang yang beriman. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang maha mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Lalu Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu usahakan”. (Al-Taubah :105)

1. Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1438H dan Awal Tahun 1439H Serta Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan pada malam ini. Kerajaan negeri mengadakan sambutan ini sebagai suatu pendedahan kepada seluruh rakyat akan kebesaran Tahun Hijri berbanding Tahun Masehi.

2. Pada kebiasaannya, Sambutan Tahun Baru Masehi tidak bebas daripada acara-acara yang melibatkan pergaulan bebas tanpa sempadan dan pelbagai hiburan yang melaghakan. Maka usaha mengadakan Sambutan Tahun Baru Hijri adalah sebagai suatu alternatif Islamik kepada rakyat dan supaya kemuliaan tahun baru tidak dicemari dengan pelbagai kemungkaran dalam negeri yang dimasyhurkan dengan Serambi Mekah ini.

3. Dasar kerajaan negeri iaitu Merakyatkan Membangun Bersama Islam telah menjadi bahan perhatian di seluruh negara kerana keunikannya. Alhamdulillah, dasar yang diterapkan ini mendapat sokongan dan dukungan seluruh rakyat sama ada orang-orang Islam mahupun bukan Islam. Kesepaduan antara pemimpin dan rakyat termasuklah keakraban rakyat pelbagai kaum sentiasa diperkukuhkan di Kelantan.

4. Meneliti peristiwa Hijratul Rasul S.A.W, umat Islam perlu menghayati kejayaan Rasulullah S.A.W dalam membina negara Madinah yang berdaulat hasil kesepaduan masyarakat pelbagai kaum. Ia membuktikan Islam sangat mementingkan perpaduan dan keamanan. Inilah keindahan Islam yang sepatutnya diamalkan sebagai model politik terbaik untuk dicontohi oleh seluruh masyarakat di Malaysia. Semoga tahun baru 1439 Hijriyah ini membuka pintu hati seluruh umat islam untuk lebih berkorban demi agama dan negara tercinta.

Merakyatkan Membangun Bersama Islam

Kelantan Menerajui Perubahan

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN
Menteri Besar Kelantan
30 Zulhijjah 1438 I 21 September 2017 – HARAKAHDAILY 21/9/2017