Pesta Gay: Jangan undang murka Allah

KEGILAAN mahu menganjurkan pesta gay di Ibu Negara pada 30 September depan adalah siri eksperimen pihak liberal untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat berlangsungnya acara songsang. Kehidupan LGBT itu yang gigih dipromosikan atas nama kebebasan dan hak asasi, hakikatnya untuk terus mencabar Islam sebagai tonggak negara ini.
 
Provokasi ini lanjutan dari pelbagai penganjuran seumpama termasuk pesta arak, bogel dan maksiat lain yang cuba ditaja dalam skala besar dan didalangi oleh kepentingan tertentu. Pesta gay tersebut dikatakan sebagai ‘pemanas badan’ menjelang White Party Bangkok selama tiga hari pada hujung Disember depan di Thailand.
 
Rakyat perlu menyedari sikap melampau yang jijik ini cuba didesak pihak tertentu menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat. Hakikatnya ia adalah perbuatan tidak bermoral, terkutuk dan hilang pedoman dari fitrah sebenar kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T sebagaimana kutukan-Nya terhadap kaum Nabi Luth A.S.
 
Ia ‘jalan singkat’ yang boleh mengundang murka Allah dan bertentangan sama sekali dengan norma dan nilai hidup manusia bermaruah. Paling nyata, kehidupan seperti inilah kancah merebaknya penyakit sosial lainnya seperti seks bebas, pengambilan dadah dan alkohol, kepincangan rumah tangga, kelemahan prestasi kerja serta jenayah.
 
Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan-jabatan Agama Islam perlu lebih sensitif terhadap perkembangan ini dengan melaksanakan pemantauan berterusan. Ketegasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menolak permohonan pesta arak baru-baru ini adalah contoh tindakan yang wajar mendapat pujian.
 
Usaha gigih membantu dan mendorong individu yang terlibat dengan kehidupan seperti ini untuk kembali ke pangkal jalan juga memerlukan sokongan ibu bapa dan seluruh ahli masyarakat. Mereka hakikatnya memerlukan bimbingan berhikmah, kesantunan perhatian dan kasih sayang untuk cekal berubah dan menjauhi kehidupan itu.
 
Menggalakkan suburnya budaya gay, lesbian dan seangkatannya melalui pesta-pesta sedemikian hanyalah menjurus kepada langkah menjahanamkan moral masyarakat dan membiakkan lagi penyakit seperti HIV. Namun jika ia tetap dianjurkan, kami tidak teragak-agak mengembleng kebangkitan membantah dan menghalangnya dari diteruskan.
 
 
USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/9/2017
Advertisement