PRU14: Merealisasi makna hijrah

nasrudin3

HIJRAH dalam sejarah Nabi kita Muhammad saw dan para Sahabat Rhm secara asasnya terbahagi kepada 3 peringkat dan ia berlaku dengan misinya yang tersendiri.

Advertisement

Hijrah Pertama: Pertahankan Aqidah

Hijrah para Sahabat Rhm ke Habsyah. Diketuai oleh Saidina Othman ibn Affan Rha dan Saidina Jaafar ibn Abi Talib Rha. Misi hijrah ini adalah untuk mempertahankan aqidah setelah menerima tekanan dan penyiksaan yang dahsyat daripada kuffar Quraisy pada masa itu.

Hijrah Kedua: Menyebarkan Dakwah

Hijrah Nabi saw ke Taif. Ianya percubaan pertama kali membawa Islam ke luar kota Makkah. Setelah dakwah Nabi saw disekat dan dihalang ketat oleh penduduk Makkah malah mereka melipatganda tekanan ke atas Nabi saw selepas kewafatan Abu Talib dan isteri Baginda saw Saidatina Khadijah Rha. Misinya adalah untuk melebarkan dakwah ke luar kota Makkah.

Hijrah Ketiga: Mendaulatkan Syariat Islam

Hijrah Nabi saw ke Yathrib (Madinah Al Munawwarah) bersama para sahabatnya Rhm adalah untuk memastikan Islam dapat ditegakkan. Setelah pembesar Makkah dan kuffar Quraisy tidak membenarkan Islam bertapak di Makkah pada waktu itu, Nabi saw menerima baiah dari Aus dan Khazraj untuk berhijrah ke Yathrib. Misi Hijratul Kubra ini ialah untuk Mendaulatkan Syariat Islam.

Hijrah adalah sebahagian dari perjuangan Islam yang akan berlangsung sepanjang zaman. Asasnya adalah Hijrah dari Kufur kepada Iman. Jahiliyah kepada Islam. Dosa kepada Pahala. Derhaka kepada Taat. Maksiat kepada ibadah. Bida’ah kepada Sunnah.

Hijrah tidak hanya bermaksud berpindah dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain, tetapi secara istilahinya, hijrah juga merupakan sebuah perjuangan untuk melakukan perubahan.

Berubah ke arah yang diredhai oleh Allah swt. Antaranya ialah membebaskan diri dari belenggu kemungkaran ekonomi dan kefasadan politik dengan gigih berjuang untuk mengembalikan kekuatan ummat Islam dan mewujudkan persekitaran masyarakat dan negara yang patuh syariah.

Penghijrahan ini WAJIB dilakukan malah siapa yang berjuang ke arahnya mendapat tempat yang sangat istemewa di sisi Allah swt:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا
إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ
فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah An Nisa’: 100)

Pilihan raya Umum ke 14 akan datang, yang bakal berlaku dalam tahun ini (1439 hijriah) adalah menjadi turning point untuk rakyat Malaysia amnya dan ummat Islam khasnya melakukan perubahan (penghijrahan).

Apa yang kita mahu ialah mengembalikan semula kuasa politik ummat Islam. Kita mahu jumlah kerusi atau suara ummat Islam bertambah besar dalam Parlimen. Kerusi yang mewakili ummat Islam selayaknya mencapai 2/3 majoritI.

Ianya boleh dilakukan melalui proses pilihan raya dengan pilihan rakyat yang bijak dan mahukan perubahan.

Kita yakin bahawa Islam membawa kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan keselamatan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Islam sewajarnya diberi peluang untuk mengurus tadbir negara ini dengan manhaj petunjuk Allah swt. agar bebas dari rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dana awam dan sebagainya.

Rakyat perlu sedar betapa pihak Evangelist, Islam Liberal dan golongan yang bertuhankan aqal dan nafsu sedang galak berkempen untuk menguasai massa dengan idea-idea songsang mereka. Tanpa suara Islam yang kuat dan cukup bilang untuk membuat keputusan di Parlimen, maka masa depan ummat Islam di negara ini tergugat.

Tidak selayaknya di bumi Islam sebagai agama Persekutuan atau agama Negara ini, tiba-tiba ummat Islam menjadi lemah. Lemah dalam jumlah mereka yang ramai, bangsat di atah tanah air sendiri dan hina di hadapan kaum bangsa sendiri.

Sempena kehadiran Tahun Baru Hijrah 1439, marilah kita melakukan penghijrahan dengan membuat perubahan yang berani dan benar dalam pilihan raya umum ke 14 kelak, membina Negara yang Sejahtera Bersama Islam.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
1 Muharram 1439 / 22 September 2017 – HARAKAHDAILY 22/9/2017