Jangan runtuhkan atau sisih diri dari perjuangan

SHAH ALAM: Matlamat perjuangan tidak akan tercapai sekiranya masih terdapat kalangan anggota yang terlibat mengganggu atau merosakkan jalan dilaluinya.
 
Ia sebagaimana bangunan sedang dibina, tetapi terdapat kalangan pekerja yang bertindak meruntuhkannya, menyebabkan binaan tidak pernah siap.
 
Demikian ibarat dikemukakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin mengupas mengenai sikap golongan yang mengabaikan tanggungjawab, bahkan khianat terhadap jamaah.
 
Perkara itu dinyatakannya pada program Hi-Tea anjuran Persatuan Anak Perlis Di Perantauan (PERINTIS) di Hotel De Palma, di sini semalam.
 
Oleh itu tegasnya, mereka yang seperti itu mesti disingkirkan agar tidak membantut atau menyebabkan perjuangan tidak mencapai hala tujunya.
 
Beliau turut memetik syair Imam as-Syafie yang mengingatkan agar tidak mencela musibah dihadapi kerana di zaman Rasulullah, ujian tertimpa lebih berat.
 
Hakikatnya terang beliau, perkara dihadapi kini mengulangi kitaran perjuangan sejak zaman Rasulullah yang hanya berbeza manusia disepanjang masa.
 
“Perkara utama perlu dilakukan adalah mengenali kebenaran. Kerana jika kita kenal kebenaran, kita akan tahu siapa yang benar,” jelas beliau.
 
Tuan Guru turut menukilkan kisah Hasan al-Basri yang menghadapi sikap muridnya bernama Wasil bin Ata’ di mana bertindak keluar dari kelompoknya kerana berbeza pandangan.
 
Tindakan Wasil itu menurutnya, dinamakan sebagai i’tizal dan kumpulannya digelar Muktazilah iaitu orang yang mengasingkan diri.
 
Beliau mengaitkan perkara itu dengan tindakan mereka yang menyisihkan diri dari kelompok perjuangan di mana mereka juga boleh digelar Muktazilah.
 
Ini kerana ujarnya, mereka itu juga mengasingkan diri, cuma hanya berbeza maksud itu tidak kepada sudut akidahnya.
 
Beliau turut menyatakan bahawa tujuan PAS mengadakan Himpunan Fastaqim bukanlah menjadi juara dalam mengumpulkan orang ramai.
 
Tetapi jelasnya, ia adalah salah satu usaha untuk menggerunkan musuh yang ingin menjatuhkan PAS
 
“Kita mengambil pengajaran dari peristiwa sirah yang berlaku semasa Fathu Makkah apabika Nabi Muhammad S.A.W mengajak para Sahabat bertawaf beramai-ramai untuk menggerunkan musuh sehingga mereka terus lari ke atas bukit,” terangnya. – HARAKAHDAILY 24/9/2017
Advertisement