Lebih 20 kali banjir landa Pulau Pinang setahun

GEORGE TOWN: Pembangunan yang dilaksanakan tanpa kajian dan perancangan baik, serta penggondolan bukit dan penebangan pokok, menjadi faktor banjir kilat di banyak kawasan dalam negeri Pulau Pinang.

Advertisement

Malah direkodkan, lebih 20 kali banjir melanda negeri itu dalam satu tahun hingga menyebabkan kesusahan terpaksa ditanggung rakyat akibat kerugian disebabkan oleh kerosakan harta benda.

Pengerusi Lajnah Tanah PAS Negeri Pulau Pinang, Yaacob Omar berkata, banjir kilat juga menimpa kawasan yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir seperti di Balik Pulau, Teluk Kumbar, Farlim, Paya Terubong dan Teluk Bahang.

Menurutnya, banyak pembinaan yang dibuat di kawasan tanah rendah di negeri itu adalah pembangunan tinggi, tetapi tanpa dibina infrastruktur perparitan dan saliran yang baik terlebih dahulu.

Kesannya ujar beliau, saliran air menyebar seperti dari botol besar ke botol kecil yang mengakibatkan banjir, sedangkan infrastruktur berkenaan perlu disediakan dahulu sebelum sesuatu pembinaan dijalankan.

Begitu juga katanya, penggondolan bukit dan tebangan pokok menyebabkan hilangnya zon penampan yang berfungsi menahan dan melambatkan pengaliran air hujan, malangnya telah dimusnahkan juga oleh pembangunan dibuat.

Kini menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP cuba menutup mulut rakyat dengan pemberian RM400, sedangkan mereka menghadapi kerosak kereta dan rumah.

Tambahnya lagi, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan exconya hanya tahu mengutuk dan menyalahkan pihak lain, sedangkan kini Pulau Pinang hanya perlukan dua jam untuk ditenggelami banjir, berbeza dulunya satu hari hujan.

Malah maklumnya, DAP dahulunya juga berkempen melalui manifesto mereka isu projek tebatan banjir dan alam sekitar, tetapi hakikatnya mereka melakukan sebaliknya sebagaimana dilihat kini.

Beliau turut menggesa pihak kerajaan turun sendiri melihat keadaan dialami kebanyakan mangsa banjir dan melakukan sendiri kerja-kerja pembersihan untuk mengetahui sejauh mana seriusnya kesan terjadi atas rakyat.

Sementara itu, Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim melahirkan rasa terkilannya kepada kerajaan negeri yang sering menguar-uarkan polisi Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) tetapi terlepas pandang peruntukan RM22 juta untuk Jabatan Pengairan dan Saliran.

Tempelaknya, kerajaan yang cekap sepatutnya tidak berkata sedemikian yang menunjukkan tidak bertanggungjawab di mana kesannya terlihat kini apabila negeri ditimpa banjir berganda hingga menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

Bidas beliau, kegagalan menyalurkan peruntukan tersebut adalah satu kepincangan dan telah menganiaya rakyat dari kesusahan dan kepayahan yang sedang ditanggung mereka.

Katanya, rakyat menanggung kos cuci dan baik kereta tidak kurang RM300 dan kerosakan rumah lebih RM2,000 berbanding pemberian oleh kerajaan negeri cuma RM400 di mana mungkin berdepan pelbagai birokrasi lain. – HARAKAHDAILY 24/9/2017