PTB Lencongan Barat punca banjir Dun Bintong

BANJIR yang melanda kebanyakan perkampungan dalam Dun Bintong jelas sekali berpunca dari Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat. Ia ternyata gagal berfungsi dengan baik, malah dikesan berlaku rekahan dan kebocoran pada laluan air yang dibina.
 
Jika sebelum ini banjir hanya kerap berlaku di Kampung Tebing Tinggi, tetapi kini landaan bah semakin luas termasuk di Wang Besar dan Behor Janggus menyebabkan penduduk mengalami keadaan amat sukar dan menyedihkan.
 
Sewajarnya, Projek Empangan Timah Tasoh dan Tebatan Banjir Lencongan Barat yang menelan belanja tinggi RM560 juta dapat menyelesaikan masalah penduduk setempat. Tetapi perkara terjadi kini sebaliknya dan menghimpit penduduk berpendapatan sederhana.
 
Pihak berwajib perlu segera mengadakan pemantauan kepada kontraktor terlibat bagi memastikan pembinaannya benar-benar mengikut spesifikasi ditetapkan. Kerana terdapat banyak keraguan pada binaan yang dilakukan kini.
 
Musibah banjir yang terjadi perlu dipandang serius kerana ia turut mengancam nyawa. Ditambah jika projek tidak mengikut prosedur ditetapkan, ia boleh mengundang risiko kegagalan, tanah runtuh dan sebagainya.
 
Pematuhan aspek teknikal yang menjamin kualiti projek dan pematuhan masa juga aspek perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Ia berkait integriti, sensitiviti dan keselamatan rakyat yang perlu dipertanggungjawabkan sewajarnya.
 
Kami menggesa Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man membawa suara penduduk ini untuk tindakan pihak terbabit dengan kadar segera agar tidak terus mempertaruhkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
 
 
DR SAIFIZI SAIDON
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar – HARAKAHDAILY 24/9/2017
Advertisement