Bangi: Bandar ilmu, bersih dan sejahtera

MENJADI hasrat dan cita-cita warga Bangi bagi mencapai Bangi, khususnya Bandar Baru Bangi yang bersih dan sejahtera, sesuai dengan jolokan Bangi Bandar Ilmu. Usaha yang giat terus digembeling bagi mencapai cita-cita tersebut seperti mengadakan kempen Bangi Bersih. Bersih daripada ajaran sesat, bersih daripada aktiviti gejala sosial, bersih daripada sampah bertaburan di bahu jalan, bersih daripada hiburan yang melampau dan bersih daripada arak.

Advertisement

Pendekatan yang pelbagai bentuk telah dan akan dilaksanakan bagi merealisasikan cita-cita ini, seperti inisiatif oleh pemimpin politik dan kerajaan, NGO dan persatuan penduduk.

Yang terbaru adalah pemberhentian jualan arak di gedung perniagaan di pasaraya Giant di Kipmall Bangi. Ini adalah hasil bantahan bertulis oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Gabungan Masjid Surau Dun Bangi, yang mewakili penduduk Bandar Baru Bangi.

Kami mengucapkan terima kasih kepada pasaraya berkenaan atas tindakannya memberhentikan jualan arak di premisnya secara serta merta dan tahniah kerana memahami hasrat dan cita-cita masyarakat setempat.

Satu lagi perkara yang menjadi hasrat masyarakat Bangi adalah tiadanya kedai makan yang beroperasi sehingga melepasi jam 12 tengah malam. Ini kerana kedai makan seumpama ini dipercayai berputiknya aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti berpeleseran, penagihan dadah, gengsterism dan seks bebas terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Untuk mencapai hasrat ini pihak Pejabat Adun dan Ahli Majlis MPKj sedang merangka tindakan-tindakan yang sesuai, dengan kerjasama agensi kerajaan seperti pihak PDRM dan MPKj, serta NGO dan persatuan-persatuan penduduk.

Saya juga ingin memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti mahupun perniagaan di Bangi, terutama yang berada dekat dengan penduduk Islam supaya sensitif dengan ‘nature’ masyarakat di sini iaitu persekitaran Melayu dan Islam, jika ingin aktiviti atau perniagaan mereka disokong oleh penduduk. Besarlah harapan saya supaya semua pihak dapat menyokong pembentukan Bangi sebagai Bandar Ilmu, Bandar Bersih dan Bandar Sejahtera, sebagaimana yg diistilahkan oleh al-Quran sebagai “Baldatun Taiyibatun Warabbun Ghafur”.

YB Ustaz Shafie Ngah
Adun Bangi – HARAKAHDAILY 25/9/2017