Jentera pilihan raya pamer semangat tinggi

MOMENTUM PAS Pahang bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi begitu memberangsangkan dengan semangat tinggi jentera pilihan raya.

Advertisement

Ini dibuktikan dengan kehadiran lebih 2,000 ahli PAS dari seluruh kawasan pada Himpunan Munajat di Padang Mahkota Aman, Kuantan, kelmarin.

Majlis bermula jam 6 petang dimulakan solat Maghrib berjemaah, kemudian kuliah haraki disampaikan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Mokhtar Senik.

Selepas solat Isyak diadakan solat jenazah ghaib ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Syeikh Mehdi Akif yang meninggal dunia 1 Muharram lepas.

Solat hajat pula diimamkan bekas pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Guru Mohd Baki Osman.

Ustaz Mohd Baki juga berharap ahli-ahli dan penyokong PAS bermunajat setiap malam sehingga menjelang pilihan raya umum ke-14.

Doa munajat dipimpin Ustaz Abu Ajwad. Hadir sama Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar, timbalannya, Andansura Rabu dan anggota jawatankuasa PAS negeri serta kawasan.

Ustaz Rosli pula berharap ahli-ahli PAS supaya sentiasa merendah diri sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya. – HARAKAHDAILY 25/9/2017