PTB Lencongan Barat gagal, kerajaan wajib bertanggungjawab

image
KERAJAAN Negeri Perlis pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man wajib bertanggungjawab terhadap kegagalan Projek Tebatan Banjir (PTB) Lencongan Barat. Beliau dituntut memberikan penjelasan terhadap projek yang bermula pembinaan pada Disember 2012 dan telah menelan belanja sehingga RM560 juta itu. 
 
Sepatutnya PTB Lencongan Barat beroperasi Jun 2016 lalu, tetapi statusnya kini kabur dan kerja-kerja pembinaannya kelihatan telah terhenti. Lebih buruk, ia menjadi punca kepada banjir yang melanda beberapa penempatan penduduk terutama dalam Dun Bintong, sedangkan kawasan tersebut sebelum ini tidak mengalaminya.
 
Sepatutnya PTB ini menjadikan sistem saliran menjadi lebih baik dan menangani banjir yang kerap berlaku khususnya di Tebing Tinggi. Tetapi bukan sahaja di perkampungan itu terjejas teruk, bahkan kawasan lain pun tiba-tiba terjejas menjadi kawasan. banjir. Sekali gus bererti tujuan pembinaannya tidak tercapai yakni gagal.
 
Walaupun isu ini dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi jawapan diberikan pihak kerajaan negeri tidak memuaskan, bahkan masalah-masalah yang berlaku tetap gagal diselesaikan. Kerajaan negeri gagal mengambil tindakan susulan, hatta untuk memberikan penerangan berkaitan.
 
PAS Negeri Perlis melihat kerajaan negeri begitu lemah dalam menguruskannya hingga impak banjir kini semakin buruk terhadap kepentingan awam. Rakyat sedang menanggung akibatnya, malah kami telah meminta kerajaan negeri membayar pampasan kepada para pesawah yang tidak dapat mengusahakan selama tiga musim.
 
Malangnya tetap tiada reaksi sewajarnya dari pihak kerajaan negeri. Kelewatan lebih setahun 3 bulan kini bukan sahaja menimpakan kesan negatif kepada penduduk termasuk keselamatan, tetapi juga memerlukan satu jaminan atau kepastian. Ini supaya masalah ini diselesaikan serta segala keraguan yang timbul diperjelaskan sebaiknya.
 
 
MOHD SHUKRI RAMLI
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis – HARAKAHDAILY 25/9/2017
Advertisement