Zionis Israel siap sedia perangi Hizbullah?

SALAH satu misi utama Condoleezza Rice, setiausaha negara Amerika Syarikat semasa pentadbiran George W Bush ialah menyatukan dunia Arab bersama Israel untuk terus memerangi Hizbullah, sebagai satu langkah mencantas pengaruh Iran di Syam, bersempadan Israel.

Advertisement

Beliau dalam satu ucapan dalam misi itu pada 2006 menegaskan bahawa Hizbullah perlu dihapuskan, dan hasilnya akan mencetuskan Asia Barat baharu, yang bermaksud Asia Barat baharu yang lebih menepati kepentingan musuh-musuh Islam.

Masa itu, pada Julai 2006, Israel sedang memerangi Hizbullah di selatan Lubnan, dan sekutu termasuk AS memberi sokongan kepada Israel dan berharap Lubnan akan bebas daripada pengaruh pakatan Iran-Syria-Hizbullah.

Rancangan melukis peta baharu dunia Islam Asia Barat dan Afrika Utara ini muncul di AS daripada kalangan pemimpin dan pemikir ketenteraan dan dasar luar, yang salah satu matlamat utamanya ialah memastikan dunia Islam terus berpecah menurut garis etnik, mazhab dan politik, yang bermakna mengukuhkan kedudukan musuh utama Islam, Zionis Israel.

Beberapa versi pemetaan baharu itu dihasilkan, tetapi secara umumnya semua memisahkan negara Islam dan mewujudkan negara baharu berdasarkan etnik dan mazhab, dengan sempadannya merentasi negara sedia ada.

Pada masa ini, perancangan peta baharu itu sedang dilaksanakan, yang dapat disaksikan ialah Kurdistan Iraq yang sedang berusaha memisahkan diri daripada Iraq, membentuk sebuah negara yang disokong Israel.

Di bawah pemerintahan Presiden Donald Trump di AS, rancangan menyatukan Arab untuk menghapuskan pakatan Iran dan mengukuhkan Israel ini dilakukan sekali lagi.

Tidak lama selepas memegang pemerintahan AS, Trump mengajak negara-negara Arab bersatu dalam satu pakatan ketenteraan dengan Israel, mensasarkan Iran yang sedang mengukuhkan pengaruh ekoran kesan kebangkitan Arab.

Selepas era pentadbiran Obama yang mengambil pendekatan mengelak dilihat negara-negara Arab sebagai menyebelahi Iran, cadangan ini segera disambut oleh sekutu AS yang pro-Arab.

Ini paling utama disebabkan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan sekutu kuat Saudi yang lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin bimbang terhadap pengaruh Iran, akibat perang Syria yang akhirnya menyaksikan proksi anti-Iran tewas.

Akibat perang Syria, Iran akhirnya lebih kuat berusaha mengukuhkan pengaruh di negara Syam itu dan Rusia turut sama meletakkan kuasa tenteranya, pada masa sama Turki yang sebelum ini mahu menjatuhkan Bashar al-Assad berpaling dan merapat kepada Rusia.

Israel yang mahu melihat pangkalan proksi Iran di Syria musnah kini berhadapan dengan pengaruh Iran yang lebih kuat di Syria akibat rancangan menjatuhkan Bashar gagal.

Pada masa sama, Syria juga semakin menerima kemasukan tentera dan militia yang disokong Iran, mengukuhkan cengkaman Iran.

Cadangan Trump menubuhkan pakatan digelar “Nato Arab” ini nampaknya diterima apabila Adel al-Jubeir, menteri luar Saudi mengatakan Iran ialah ancaman kerana menjadi pendana terorisme antarabangsa semasa persidangan keselamatan Munich di Jerman beberapa hari selepas cadangan Trump itu dilaporkan.

Banyak yang berlaku sejak itu, termasuk krisis diplomatik Qatar – yang akhirnya mendorong Doha lebih rapat dengan Tehran – dan usaha Saudi untuk memulihkan hubungan dengan Iraq bagi mengimbangi pengaruh Iran di negara itu.

Di pihak Israel, persediaan untuk berperang dengan Hizbullah semakin ditingkatkan. Mereka berharap perang kali ini akan menghapuskan Hizbullah dan hab pengaruh Iran di Syam itu.

Sekiranya perang antara Israel dengan Hizbullah berulang, kesannya akan jauh lebih besar, dan dijangka melibatkan peranan aktif negara-negara Arab yang semakin berhubungan baik dengan Israel dan berkongsi agenda memerangi Iran.

Perdana Menteri Zionis, Benjamin Netanyhu telah beberapa kali bercakap tentang ancaman Hizbullah, pada masa sama memberi amaran tentang pengaruh Iran.

Pihak Israel juga memperbesarkan perluasan pengaruh dan agenda Iran di rantau Asia Barat, termasuk menguasai Yaman dan merancang menubuhkan pangkalan tentera di Syria.  

Kedua-dua pihak telah meningkatkan kemampuan ketenteraan masing-masing sebagai persediaan untuk perang yang dijangka akan memberi kesan sangat besar kepada seluruh Asia Barat.

Beberapa minggu lalu, pada awal bulan September, Israel mengadakan latihan tentera besar-besaran, terbesar dalam tempoh 20 tahun melibatkan 30,000 orang tentera.

Latihan itu ialah satu simulasi berdepan Hizbullah, menunjukkan persediaan lebih rapi Israel untuk berperang sekali lagi dengan kumpulan bersenjata Lubnan itu.

Sekitar masa yang sama perang dengan Hizbullah menjadi perbincangan hangat, AS juga mengumumkan penubuhan pangkalan tentera baharu di Israel.

Hizbullah pula didakwa telah menempatkan 10,000 orang pejuang di Syria sebagai persediaan berhadapan dengan Israel.

Sekiranya perang berlaku lagi antara Zionis Israel dengan Hizbullah, seluruh umat Islam bakal terlibat sama secara langsung, dan tidak langsung melibatkan perang propaganda.

Umat Islam wajar menjadikan konflik di Asia Barat sejak lebih enam tahun lalu sebagai sumber pengajaran agar tidak sekali lagi tertipu dengan propaganda, dan dapat melihat apa yang berlaku dari kaca mata yang mengutamakan kepentingan umat. – HARAKAHDAILY 25/9/2017