Carilah isu lain hendak lawan PAS

BANYAK orang minat tentang PAS sehingga apa yang PAS mesyuarat pun hendak diulas. Pada hal mesyuarat dan perbincangan hal sulit. Ia bukan ceramah umum untuk diuar-uarkan kepada orang ramai. Ia bukan kenyataan media.

Advertisement

idris2Alhamdulillah segala perbincangan yang PAS mesyuarat tidak terlepas keluar. Berlainanan dahulu, sebelum wal Asr, apa sahaja di dalam mesyuarat sudah tersebar di alam maya.

Terbaru Datuk Husam Musa, mendakwa ketika PAS bermukim di Pulau Pangkor di awal bulan yang lalu membincang mengenai kerjasama dengan Umno tetapi mendapat penentangan daripada tokoh veteran PAS yang menganggotai Lembaga Penasihat Parti. Apa perlu kita hendak bincang mengenai hubungan dengan Umno dan Pakatan Harapan kerana perkara ini sudah jelas, PAS akan bersama Gagasan Sejahtera.

Permukiman pimpinan PAS tidak perlu bincang perkara yang sudah jelas sebelum pimpinan PAS mendarat di Pulau Pangkor. Buat apa hendak bincang perkara yang membuang masa dan membazir air liur sahaja. Di dalam PRU14, PAS tidak bersama BN dan PH, mesejnya jelas. Tetapi sengaja buat tidak jelas kerana tidak ada modal.

Modal PAS bersama dengan Umno yang dituduh kepada Presiden PAS sejak 2008. Kalau ada anak sekolah sudah masuk belajar darjah tiga. PAS masih tidak bersama. Kalau hendak tuduh PAS mesra Umno kerana atas beberapa isu seperti RUU 355 dan isu bantuan Rohingya. PAS tidak tuduh PH mesra dengan Umno dan BN, apabila sanggup untuk bekerjasama supaya dapat undi 2/3 di Parlimen untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan 88A di dalam Akta 164? Cuba bayangkan kalau PAS yang sebut untuk kerjasama dengan BN dalam perkara ini. Puak-puak ini akan canang seantero dunia PAS sudah bersama BN.

Memang kerja musuh PAS untuk menimbul keraguan ahli dan masyarakat kepada PAS. Mereka bukan ada kerja, yang ada hanya bermain persepsi, fitnah dan andaian.

Setakat hari ini senjata mereka tidak dapat meruntuh kekebalan saf kepimpinan PAS. PAS terus mara ke hadapan. Setiap bulan hampir 2,000 ahli baru diterima. Sehingga ada dalam kalangan mereka sudah naik meroyan apabila Tuan Guru Presiden PAS menyeru ahli PAS supaya hadir ke Fastaqim 2.0 di Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu pada 29-30 Sepetember 2017. Tuan Guru Presiden hanya ajak ahli PAS sahaja tiba-tiba mereka pula sakit hati. Barangkali ada masalah dalaman .

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
26 September 2017 – HARAKAHDAILY 26/9/2017