Fastaqim 2.0: Parti politik dijemput hadir

PAS tetap yakin dapat mengumpul 200,000 peserta pada Himpunan Fastaqim 2.0 yang akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, beliau optimis untuk mencapai sasaran 200,000 peserta pada himpunan tersebut.

Katanya, mengambil kira pengalaman sebelum ini perhimpunan besar anjuran PAS mendapat sambutan menggalakkan.

“Pengalaman dewan-dewan ketika menganjurkan aktiviti juga mampu mengumpul sehingga 30,000 orang.

“Kita ada empat dewan iaitu Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulamak dan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Cuma mungkin DHPP sebagai yang bongsu sedikit berbeza, namun dewan-dewan yang lain mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya pada sidang media di lokasi Fastaqim 2.0 petang ini.

Hadir sama Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh; Setiausaha Jawatankuasa Induk Fastaqim 2.0, Nurul Islam Mohd Yusof; Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Pengarah Fastaqim 2.0, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Adun Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Nasarudin juga berkata, parti-parti politik dijemput hadir pada perhimpunan tersebut untuk sama-sama dengan perjuangan Islam yang didukung PAS.

“Saya mengucap selamat datang kepada semua peserta Himpunan Fastaqim 2.0 tanpa mengambil kira latar belakang agama dan bangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2017