Fastaqim 2.0: Tiga dalam satu

SELAMAT datang, Ahlan wa Sahlan wa Marhaban bikum saya ucapkan kepada semua yang bakal berkampung di Pantai Tok Jembal  Kuala Nerus pada 29 dan 30 September 2017 kelak bagi menjayakan himpunan gilang gemilang FASTAQIM 2.0

Advertisement

Himpunan FASTAQIM 2.0 atau Himpunan 200K ini mempunyai 3 ramuan utama yang bakal menjadikan ianya sebagai himpunan yang sangat bermanafaat kepada semua peringkat dan lapisan masyarakat.

1. SANTAI

Bermula pagi 29 Sept 2017 hinggalah lewat petang 30 Sept 2017, FASTAQIM 2.0 akan diserikan dengan pelbagai acara santai dan MESRA KELUARGA. Ia terdiri daripada aktiviti pantai dengan pelbagai acara yang dipertandingkan di samping rehat minda dengan dialog bersama selebriti dan persembahan mereka.

Orang ramai yang hadir, disamping menyertai dan menyaksikan pelbagai acara yang dihidang, juga boleh beristerehat sambil menikmati keindahan suasana tepi pantai dengan membawa khemah kecil dan tikar masing-masing.

Justeru itu peserta FASTAQIM 2.0 dinasihatkan agar senantiasa tenang, ceria, gembira dan bersabar atas apa jua kesulitan yang dialami tanpa stress atau melakukan provokasi dan apa jua tindakan yang mencetuskan ketegangan.

Semestinya tidak dibenarkan sama sekali membawa senjata atau peralatan tajam yang berisiko. Mudah-mudahan kemeriahan hari keluarga besar FASTAQIM 2.0 tidak rosak oleh perkara yang tidak diingini.

2. PELANCARAN JENTERA PILIHAN RAYA

Himpunan ini juga akan menyaksikan IKRAR SETIA dan persiapan akhir jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi PRU ke 14 akan datang.

200K yang bakal bertemu di Pantai Tok Jembal merupakan isyarat jelas bahawa PAS disemua peringkat telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum kelak dan bermaksud mahu membawa pulang tropi kemenangan.

3. SPIRITUAL & MOTIVASI PERJUANGAN

FASTAQIM 2.0 akan diperkayakan dengan solat dan munajat perdana, memohon pertolongan serta kemenangan daripada Allah SWT. Ia disempurnakan oleh ucapan motivasi dan amanat perjuangan oleh pucuk pimpinan parti.

Pengarahan umum dan hala tuju asas akan terus diperteguhkan bersama FASTAQIM 2.0 kelak melalui pidato pimpinan di samping menjawab isu-isu semasa.

Peserta FASTAQIM 2.0 digalakkan membawa sejadah dan air mineral. Juga payung dan baju hujan sebagai langkah berjaga-jaga.

Akhirnya saya mewakili seluruh warga kerja FASTAQIM 2.0 menjemput anda semua tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan parti untuk bersama PAS mengurus “Gelombang Hijau Menuju Kemenangan” ke Himpunan FASTAQIM 2.0 pada 29 dan 30 September 2017 kelak.

Berhati-hati dalam perjalanan. Mulakan perjalanan anda dengan doa dan niat yang betul, semoga anda selamat sampai ke tapak FASTAQIM 2.0 di Pantai Tok Jembal Kuala Nerus Terengganu.

Hijau Menuju Kemenangan. – HARAKAHDAILY 26/9/2017