PAS Kedah sumbang RM60,000 untuk Rohingya

ALOR SETAR: Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah telah menyumbangkan sebanyak RM60,000 bagi membantu pelarian Rohingya kepada Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief).

Advertisement

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman kepada Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, di sini semalam.

Menurut Dr Hayati, sumbangan tersebut adalah hasil kutipan dilakukan oleh PAS Kawasan seluruh Negeri Kedah dan disalurkan bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan antarabangsa PAS.

“Khusus untuk membantu Muslim Rohingya di kem-kem pelarian. Sumbangan tersebut adalah jumlah terkumpul hasil sumbangan ahli PAS dan orang ramai melalui PAS kawasan-kawasan di negeri ini.

“Sehingga kini PAS Kedah masih mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan individu yang sudi menghulurkan bantuan demi meringankan derita yang ditanggung oleh pelarian Rohingya.

“Masih terlalu banyak keperluan mendesak yang mesti segera dilakukan untuk menyelamatkan pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh seperti makanan, pakaian, bekalan air bersih dan khemah,” ujarnya.

Setakat ini maklum beliau, terdapat 450,000 pelarian yang masih ‘berteduh’ di pinggir-pinggir jalan menunggu bantuan pihak-pihak yang bersimpati dan dijangka lebih ramai pelarian Rohingya akan memasuki Bangladesh untuk menyelamatkan nyawa mereka dalam minggu ini.

Orang ramai boleh meneruskan sumbangan melalui akaun Maybank Tabung Kemanusiaan Antarabangsa 5640 7061 1352 atau diserahkan ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kedah di talian 04-7481122. – HARAKAHDAILY 26/9/2017