Projek Rumah Selangorku ikut jadual

KERAJAAN Selangor yakin kira-kira 22,000 unit Rumah Selangorku yang dalam pembinaan daripada 97,432 unit yang diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Advertisement

iskandar ybPengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri sentiasa mengadakan pemantauan projek terbabit bagi memastikan tidak membebankan pembeli.

“Kerajaan negeri sendiri memantau dengan dekat kerana kita memahami keperluan yang mendesak untuk orang ramai memiliki rumah sendiri berbanding terpaksa menyewa,” katanya dipetik SelangorKini.

Bagaimanapun jelasnya, pada masa ini terdapat masalah apabila ada beberapa bank yang menolak permohonan pinjaman pembeli.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji syarat dan peraturan yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri dan bukannya memberi tekanan dengan pelbagai syarat kepada golongan kurang berkemampuan ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sendiri mengambil pelbagai tindakan proaktif bagi membantu orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri dengan mewujudkan pelbagai skim melibatkan sektor perumahan dalam Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).