Rendaman ais rawat minor strok?

KUMPULAN kami hangat membincangkan isu rendaman ais bagi merawat minor strok sepertimana dilaporkan dalam sebuah akhbar tersohor. Para pakar dalam kumpulan kami terkejut, bagaimana sebuah akhbar perdana seperti itu kongsi petua yang tidak mendatangkan faedah perubatan itu. Rupanya artikel berkenaan disalin tampal dari blog lain.

Advertisement

drsuhazeliMinor Strok atau Serangan Iskemia Sementara (Transient Ischaemic Attack) adalah berlaku apabila jumlah darah ke bahagian otak terbantut. Sama ada ianya akibat dari penyumbatan saluran darah atau perdarahan. Majoritinya adalah pengaliran darah tersekat. Ianya dinamakan sebagai minor kerana peratus penyumbatan itu sedikit atau berlaku seketika. Sel-sel otak masih lagi berfungsi dengan baik dan saraf hujung seperti kebas-kebas dan lembik hanya berlaku sementara. Selebihnya pesakit akan kembali normal dalam tempoh tertentu. Majoriti dari mereka hidup sihat semula. Kajian menunjukkan hanya 32% antara mereka meninggal dunia dalam tempoh 10 tahun. Manakala 14% dari mereka akan mengalami major stroke dalam tempoh 10 tahun.[1]

Maknanya, minor strok ini terkhusus berpunca dari dalam otak manusia, bukannya kaki. Kebas dan kaki tidak bermaya itu adalah manifestasi kepada kecederaan yang berlaku di otak. Sama ada kaki direndam ais atau dibenamkan dalam pasir pantai atau seumpamanya, ia bukan rawatan berfaedah dan tidak perlu dianjurkan. Mungkin bagi sesetengah pesakit akan merasai selesa dengan rendaman, tetapi ianya bukan rawatan semasa akut mahupun rawatan secara berpanjangan. Rugi pulak ais tersebut diletakkan di kaki.

Terdapat kajian yang belum konklusif menggunakan selimut sejuk, pek ais atau air sejuk ke saluran darah digunakan bagi melindung saraf dari terus tercedera dalam kes serangan iskemia jantung dan strok, tetapi rawatan ini masih lagi dalam pengkajian.[2] Kaedah ini bukan lagi suatu perawatan umum yang boleh dijadikan standard khusus pada masa kini.

Nasihat kami, apabila diserang strok, silalah dapatkan bantuan segera di hospital. Jangan lengahkan waktu kecemasan itu dengan merendam kaki dalam ais. Sesetengah hospital dalam negara kita mempunyai pasukan khas strok (Stroke Team) bagi bertindak segera merawat pesakit yang diserang strok. Jumlah morbiditi dan mortaliti dapat dikurangkan jika rawatan diberikan seawal 4 jam pertama.

Kami menyeru mana-mana penulis rencana yang tiada asas perubatan untuk merujuk dahulu ketepatan fakta sebelum disiarkan kepada masyarakat umum. Elakkan kekeliruan sebegini berlegar dalam kalangan kita.

#MedTweetMY dan #MedicalMythBustersMalaysia sedia membantu.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
26.9.2017
Jerangau

Pautan
[1] Long Term Prognosis Minor Stroke. http://stroke.ahajournals.org/content/29/1/126
[2] Therapeutic Hypotermia in Stroke. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2748785/