Sertai PAS, kejutan malam kemuncak Fastaqim 2.0

MALAM kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 pada 30 September ini bakal membuat kejutan apabila dipercayai dua, tiga orang tokoh nasional akan bersama menyertai PAS.

Advertisement

Pengerusi Fastaqim 2.0, Ustaz Nasarudin Hassan mengesahkan penyertaan beberapa tokoh nasional itu namun identitinya masih dirahsiakan.

Katanya, pada malam kemuncak himpunan Fastaqim ada suatu pengisYtiharan dua atau tiga orang tokoh nasional yang sebelum ini berada di luar PAS akan menyertai parti itu.

“Satu kejutan akan diisytiharkan dua atau tiga orang tokoh nasional yang akan menyertai bersama dengan perjungan PAS.

“Siapakah tokoh-tokoh itu, tunggulah kemunculannya pada malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 nanti.

“Insya Allah, dua, tiga orang tokoh ini akan hadir bersama pada malam itu dengan kita untuk membuat pengisytiharan bersama dengan perjuangan PAS,” ujarnya kepada dalam satu sidang media di tapak Himpunan Fastaqim 2.0, Pantai Peranginan Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.

Menurutnya, tokoh-tokoh itu sebelum ini berada di luar PAS dan selepas ini mereka akan bersama mengharungi perjuangan PAS.

Selain itu, katanya turut diadakan Pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera juga akan disempurnakan oleh pimpinan tertinggi parti pada malam kemuncak itu.

Hadir sama pada sidang media itu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Pengarah Fastaqim 2.0, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh, Setiausaha Jawatankuasa Induk Fastaqim 2.0, Nurul Islam Mohd Yusof dan Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, – HARAKAHDAILY 26/9/2017