UMK ikut arus perubahan global

PEMANGKU Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra mahu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menumpu usaha untuk menjamin kualiti dan kecemerlangannya.

Advertisement

Titah baginda, UMK diharap tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global.

“Sebagai universiti keusahawanan, UMK perlu melipat gandakan usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utama universiti.

“UMK perlu mempertingkatkan lagi ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar,” titah baginda sempena Pemasyhuran Canselor UMK semalam.

Menurut baginda juga, UMK hendaklah memperlihatkan kecemerlangan dari aspek sumber manusia, penyelidikan transnasional, jalinan dan kerjasama industri.

Selain itu penjanaan pendapatan untuk kekal relevan dalam masyarakat dan negara.

Baginda juga bertitah, peranan UMK membantu kerajaan memperkasakan ekonomi masyarakat terutamanya di luar bandar sesuatu yang baik – HARAKAHDAILY 26/9/2017