GST dan India… hebat bandingannya

LEBIH baik berbanding cukai yang dikenakan kerajaan India.  Ini perbandingan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia,  apabila berucap di Himpunan Agung MIC Pusat minggu lepas.

Advertisement

Entah apa gerangan yang merasuk PM sampai berkata demikian lantas menyatakan bahawa rakyat Malaysia bising bila membayar GST pada kadar 6 peratus sedangkan India GST dikenakan 28 peratus.

Ya baguslah perbandingan yang sangat cerdik (dalam makna sinikal) yang dibuat Perdana Menteri ini.  Rata-rata netizen berang dan sakit hati dengan kenyataan PM ini.

Apakah pertimbangan beliau tatkala memberi perbandingan sedemikian? Tahukan PM bahawa pelaksanaan GST di India hanya dikenakan kepada barangan mewah yang tidak dibeli atau digunakan oleh rakyat marhaen. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Berbanding di Malaysia, rakyat marhaen yang membeli barangan di pasar raya dikenakan cukai GST atas barangan keperluan hingga pengguna terpaksa membayar lebih. Ditambah pula dengan kenaikan harga barangan yang cukup melampau berlaku disebabkan kenaikan harga bahan bakar samada petrol mahupun diesel.

Apatah lagi kerajaan juga telah mengenakan GST kepada syarikat pemborong,  pekedai dan kesan berantai akibat GST ditambah kenaikan kos lain berlipatkali ganda dan menyebabkan rakyat “terjelir” lidah membayarnya,  terpaksa mengikat perut untuk terus berdepan tekanan ekonomi  yang parah.

Tanya kepada PM apakah beliau merasai denyut kesusahan yang dihadapi rakyat di bawah ini dengan gaji RM3000 ke bawah seisi rumah?

Berbanding hidup mewah beliau dan keluarga dengan gaji puluhan ribu Ringgit dan segala kemudahan diberikan percuma oleh kerajaan, maka tidak enak untuk membandingkan India dan Malaysia dalam isu GST ini.

Apakah PM ingat bahawa rakyat Malaysia yang ada hari ini sewenangnya boleh ditipu begitu sahaja dengan membuat perbandingan tak masuk akal sedemikian?

Kalau PM setuju mahu ikut cara India,  maka benarkan rakyat menukar PM Malaysia kerana India telah 16 kali menukar PM yang bermasalah, namun Malaysia hanya enam kali menukar PM dalam sejarahnya. – eHARAKAH 27/9/2017{/mprestriction}