Janji Tok Guru kepada bekas tentera tertunai

PERBADANAN Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membangunkan tanah seluas 1,000 ekar di Sungai Terah di Gua Musang untuk dibangunkan bandar baru dan projek perumahan.

Advertisement

Daripada jumlah itu kata Ketua Eksekutif PKINK, Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail, sebanyak 100 ekar diserahkan kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan bakinya Bandar Baru Sungai Terah.

DrWZawawi PKINKMenurutnya, projek perumahan bagi bekas tentera itu sudah bermula yang merupakan permohonan persatuan tersebut sejak zaman pemerintahan Menteri Besar, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita cuma menyelesaikan legasi beliau, beliau ada berjanji dengan persatuan bekas tentera untuk membahagi tapak rumah kepada bekas tentera, jadi kita tunaikan janji ini kepada mereka.

“Kita serah kepada persatuan untuk menentukan penerimanya, kita rancang 100 ekar itu dipecahkan kepada lima atau enam lot, kalau enam lot dia akan keluar 600 tapak perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Ladang Sungai Terah pada sesi temubual khas yang diadakan bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) baru-baru ini di pejabatnya di sini.

Mengenai pembinaan bandar baru seluas 900 ekar kata beliau, pihak PKINK kini sedang mengadakan perbincangan bersama beberapa buah syarikat pemaju untuk membangunan projek tersebut yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Kita jangka dalam tempoh 10 tahun akan datang, dia akan jadi bandar baru sepenuhnya yang dahulunya ia merupakan Ladang Sungai Terah yang akan dibangunkan menjadi sebuah bandar baru,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2017