KWSP: Wajibkan umat Islam carum patuh syariah

KERAJAAN sepatutnya mewajibkan semua umat Islam yang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menukar kepada simpanan patuh syariah.

Advertisement

IDRISMenurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, ini bagi mengelakkan simpanan mereka tidak diragui dari segi halal haram.

Malangnya, kata beliau walaupun KWSP mewujudkan skim simpanan patuh syariah tetapi kerajaan terus memberi pilihan kepada para penyimpan sama ada mahu menukar kepada patuh syariah atau kekal dalam simpanan konvensional.

“Ini yang kita tak faham, mengapa kerajaan tidak mewajibkan terus semua umat Islan simpan duit mereka simpanan patuh syariah yang sudah sah mengikut simpanan cara Islan,” kata kepada Harakah.

Baru-baru ini media melaporkan Jawatankuasa Fatwa Perlis dipetik sebagai berkata, semua jenis skim KWSP wajib ditunaikan zakat dengan syarat pekerjaan pencarum adalah halal.

Hukum itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Perlis yang bersidang pada 6 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, apabila seseorang pekerja itu menukar kepada akaun patuh syariah mereka tidak perlu ragu lagi kerana KWSP telah mewujudkan Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) bagi menasihati KWSP berkenaan pelaburan patuh syariah. – HARAKAH 27/9/2017