Ramai yang dengki, jom Fastaqim 2.0

HIMPUNAN Fastaqim 2.0 yang dirancang berlangsung di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada 29 dan 30 September ini, dengan jangkaan kehadiran seramai 200,000 ahli dan penyokong PAS seluruh Malaysia, sudah berada di selekoh terakhir sebelum kita memecut ke garisan penamat. Persiapan sememangnya sudah lama rancak berjalan. Paling mengharukan, selain daripada bajet yang disediakan oleh PAS Terengganu dan Pusat, tidak kurang pula wang yang dikeluarkan dari poket-poket peserta, bagi menzahirkan kesungguhan mereka dalam menjayakan himpunan ini. Promosi-promosi dan persediaan yang dijalankan dengan kos yang termurah, tetapi dengan kualiti yang sangat baik jika tidak terbaik sekalipun.

Advertisement

mOHD nORHimpunan besar ini adalah yang kedua diadakan selepas di Kota Bharu dahulu. Ianya berkenaan maruah, bagi dipertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa PAS adalah sebuah parti yang mempunyai kekuatan yang tersendiri yang memiliki maruah yang sangat tinggi. Ada penghina-penghina PAS dahulu mengatakan bahawa PAS sudah lumpuh dengan keluarnya beberapa pemimpin yang berkhianat dengan PAS, namun dengan kehadiran 100,000 orang di Kota Bharu ketika itu, ia sekali gus mendiamkan pembenci-pembenci PAS, tersungkur menelan kata-kata mereka kembali.

Tidak puas dengan itu, ditabur pula fitnah oleh sekumpulan manusia yang tiada tahu adab berkawan, dengan mengatakan PAS telah disuap Umno dengan RM90 juta. Walaupun sebegitu sukar untuk PAS menepis segala fitnah ini sehingga terpaksa mencari keadilan di mahkamah di London, namun PAS tetap ke sana demi maruah parti Islam ini. Ahli-ahli dan penyokong PAS tidak membiarkan pimpinan PAS sahaja bertungkus lumus membuang palitan fitnah ini, malah mereka menyeluk poket-poket mereka bagi bersama membayar kos guaman bagi kes fitnah ini. Alangkah peliknya ahli-ahli PAS ini, semakin difitnah, semakin teguh pendirian mereka bersama PAS.

Oleh itu, saya merasa hairan apabila ada pihak yang mengeluarkan kenyataan untuk mahu memancing ahli PAS dan mengajak semua ahli PAS melupakan Presiden PAS. Adakah mereka ini bercakap ketika berada di bawah sedar? Adakah mereka tahu apakah maknanya istiqamah yang PAS laung-laungkan? Ahli PAS beristiqamah di atas jalan yang lurus dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk. Dan pemandu ahli-ahli PAS kepada jalan ini ialah Presiden PAS.

Turut masuk dalam senarai bagi mengucar-kacirkan PAS ialah Pan. Daripada kepala kumpulan mereka yang kononnya mendedahkan isi perbincangan pada Retreat PAS Pusat yang akan bergabung dengan Umno, hinggalah heboh mencanangkan bahawa pertandingan memancing di Fastaqim 2.0 itu adalah judi. Begitulah orang yang lemah feqah, tiada ulamak yang boleh mereka mengambil panduan, maka menjadilah sedikit liar dan tersasar hukum hakamnya, tidak takut dosa memfitnah. Begitulah kerjasama Harapan dan Umno, dengki untuk jatuhkan PAS, sama ada rakyat sedar atau tidak.

Umno juga tidak terkecuali untuk memancing ahli-ahli PAS kerana pada tarikh yang sama, nun di seberang sana, Karnival Jom Heboh juga bakal berlangsung. Umno yang sememangnya sudah kita maklumi akan kenakalannya, mungkin terfikir mereka akan berjaya menarik majoriti ahli PAS untuk dipesongkan kompas mereka dari ke Pantai Tok Jembal ke Karnival Jom Heboh. Maaf Umno, jangan dianggap ahli-ahli PAS sebebal itu.

Saya masih ingat, ketika mula-mula Umno memerintah Terengganu selepas menang dengan cara menipu, Islam Hadhari diperkenalkan oleh Pak Lah, yang ketika itu menjadi PM. Yang anehnya, Islam Hadhari bagaikan tidak wujud di negeri-negeri lain kerana penekanan tertumpu di Terengganu dan Kelantan sahaja. Dan oleh kerana mahu membuktikan bahawa mereka benar-benar mengamalkan Islam, maka antara perubahan yang Umno lakukan ialah menukar nama Karnival Jom Heboh kepada Perkampungan Hadhari. Hanya di Perkampungan Hadhari, ada ceramah agama dan konsert yang bercampur gaul lelaki perempuan, pada sebelah malam, ditiadakan. Tetapi bagi negeri lain, ianya masih dibolehkan. Pelikkan?

Kini Perkampungan Hadhari bertukar kembali namanya kepada nama asal Karnival Jom Heboh setelah umpan Islam Hadhari mereka tidak dimakan oleh rakyat, terutamanya ahli-ahli PAS. Begitulah istiqamahnya ahli-ahli PAS kepada mematuhi kehendak parti, atas nama Islam. Percayalah, walaupun diumpan sebegitu rupa oleh Umno, saya yakin dan percaya, Jom Heboh, bukan tempat persinggahan peserta-peserta Fastaqim 2.0 insya Allah. Semua lawan PAS sedang bersatu cuba menggugat PAS. Jadi apakah perlu kita bersama mereka? Sangatlah tepat himpunan ini dinamakan Fastaqim kerana ia akan menunjukkan kepada dunia, PAS terus teguh beristiqamah atas jalan yang lurus. Jom Fastaqim 2.0!

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
6 Muharram 1439 / 27 September 2017 – HARAKAHDAILY 27/9/2017