Bubur Asyura penutup Dapur Rakyat PAS Perlis

KANGAR: Bubur Asyura menjadi menu terakhir disediakan PAS Negeri Perlis istimewa untuk mangsa banjir di negeri itu sebagai antara keprihatinan berkongsi rasa yang ditanggung mereka atas musibah menimpa.
 
Ia sekali gus menjadi penutup kepada Dapur Rakyat PAS yang beroperasi pada musim banjir kali ini di Markas PAS Behor Janggus, di sini sejak 23 September lalu.
 
Program dipanggil sebagai ‘Kucai Buboq Sora’ itu dilaksanakan secara gotong royong melibatkan kalangan pimpinan dan aktivis PAS Perlis.
 
Sehingga semalam, kebanyakan mangsa di pusat pemindahan banjir sudah pun pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah mereka.
 
Antara pimpinan yang hadir pada program tersebut ialah Timbalan Pesuruhajaya I PAS Negeri, Ustaz Yusainee Yahya.
 
Beliau melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana keadaan banjir sudah pun surut dan kehidupan penduduk setempat kembali seperti biasa.
 
“Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan-kawasan dan Dewan-dewan yang bertungkus lumus turun membantu menjayakan Dapur Rakyat sejak diadakan pada tempoh hari,” ucap beliau.
 
Bubur asyura tersebut telah diedarkan kepada penduduk setempat dan penduduk di kawasan lain yang terlibat dengan banjir. – HARAKAHDAILY 29/9/2017
Advertisement