Isu pesta arak: Hasil PAS bertemu Datuk Bandar positif

EMPAT Dewan PAS Negeri Selangor iaitu Ulamak, Pemuda, Muslimat dan Himpunan Penyokong telah mengunjungi Datuk Mohd Azizi Mohd Zain selaku Datuk Bandaraya Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ di Petaling Jaya, kelmarin.

Advertisement

Pimpinan Dewan dihadiri oleh Ustaz Rizuan Rahmat  (Ketua Dewan Ulamak), Ustaz Syarhan Humaizi Halim (Ketua Pemuda), Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan (Ketua Muslimat), Datuk Deepakaran A/L Karupiah (Ketua Himpunan Penyokong) serta pimpinan dewan-dewan yang lain.

Turut hadir bersama dalam kunjungan ini ialah YB Ustaz Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus dan AJK PAS Pusat.

mbpj2Kunjungan ini adalah bagi mendengar dengan lebih jelas dan tepat berkenaan permohonan penganjuran pesta arak Oktober Fest 2017 kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya oleh Datuk Mohd Azizi sendiri. Difahamkan bahawa permohonan pesta arak ini akan dibuat di Kompleks Membeli Belah One Utama. Namun setakat ini permohonan tidak mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan.

Di samping itu, PAS pula menyuarakan pandangan dan cadangan kepada pihak Datuk Bandaraya termasuk mengemukakan bantahan terhadap permohonan penganjuran pesta arak ini sebagai tanggungjawab sosial dan mewakili masyarakat prihatin di negeri Selangor.

PAS amat konsisten berkaitan isu pesta arak, sejak dari tahun 2014 lagi telah membantah penganjuran ini. Pandangan PAS jelas iaitu menolak aktiviti minum arak secara berpesta tanpa menolak hak menkonsumi arak di kalangan bukan Islam. Kerana membudayakan pesta arak adalah bertentangan dengan cara hidup rakyat Malaysia. Maka PAS sangat berharap agar permohonan Oktober Fest 2017 tidak diluluskan oleh pengurusan MBPJ.

Bantahan penganjuran pesta arak turut disuarakan secara rasmi oleh 4 orang Ahli Majlis PAS di MBPJ iaitu Haji Ghazali Daud, Encik Azri Mohd Arish, Ariffin Mahaiyuddin dan Encik Azizi Ariffin.

Semoga pertemuan ini menjadi titik tolak kepada kesedaran masyarakat dari semua peringkat bagi berganding bahu melaksanakan tugas Amar Makruf Nahi Mungkar serta membawa kesejahteraan di negeri Selangor.

“Sejahtera Bersama Islam”

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
28 September 2017 / 7 Muharram 1439 – HARAKAHDAILY 28/9/2017