PAS Kedah bantu mangsa banjir

ALOR SETAR: Prihatin terhadap nasib mangsa banjir di negeri ini, PAS Negeri Kedah menggerakkan bantuan yang dihulurkan langsung ke kediaman dan pusat-pusat pemindahan.
 
Pengerusi Lajnah Bencana dan Kecemasan PAS Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, bagaimanapun penumpuan diberikan kepada mangsa yang tidak berpindah ke penempatan banjir.
 
Menurutnya, petugas meranduk air dari rumah ke rumah menyampaikan sumbangan makanan, biskut, roti, air minuman dan lain-lain bagi keperluan asas mangsa.
 
Terangnya, walaupun banjir kali ini tidak seteruk pernah berlaku pada masa-masa lalu, namun PAS tetap mengambil kira kesusahan serta musibah yang melanda rakyat dan berusaha membantu semampunya untuk meringankan bebanan.
 
Sehubungan itu jelasnya, petugas PAS termasuk pemimpin PAS Kawasan, Pemuda, Muslimat dan Jabatan Amal bertungkus lumus tanpa mengira waktu untuk memastikan mangsa-mangsa banjir dibantu.
 
“Ada kawasan yang menyediakan nasi dan lauk untuk dihantar ke rumah mangsa banjir yang sukar keluar masuk kerana jalan ke rumah mereka ditenggelami air, seperti di Anak Bukit dan Alor Setar.
 
“Sumbangan bahan mentah seperti beras, sardin, gula, kopi dan lain-lain juga dihantar ke pusat-pusat penempatan mangsa banjir.
 
“Sementara itu di tempat yang airnya sudah surut  petugas PAS terutama dari kalangan Pemuda dan Jabatan Amal telah memulakan operasi mencuci,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah.
 
Secara umumnya beliau berpuas hati kerana misi bantuan mangsa banjir PAS Kedah berjalan lancar di kawasan-kawasan yang terlibat.
 
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua petugas parti yang bertungkus lumus membantu tanpa mengira masa dan waktu selain turut menyumbang wang ringgit untuk menjayakannya.
 
Berikutan hujan lebat beberapa hari sebelumnya dan berlakunya air pasang besar, beberapa kawasan termasuklah Pendang, Kuala Kedah, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Merbok dilanda banjir dan mengakibatkan setengahnya dipindahkan ke pusat penempatan banjir. – HARAKAHDAILY 28/9/2017
 
Advertisement