Pemuda Selangor serah memo pesta arak

KLANG: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor membuat serahan memorandum bantahan pesta arak yang dijangka akan diadakan di Centro Mall Klang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, Kapar di sini semalam.
 
Serahan memorandum dipimpin Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim itu bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap penganjuran tersebut.
 
Menurutnya, pesta atau festival sebegitu banyak meninggalkan kesan negatif dalam masyarakat khususnya remaja dalam negara.
 
“Kita mengharapkan dengan serahan memorandum ini menjadi satu usaha dan suara di peringkat PAS dan sebahagian kalangan masyarakat yang tidak setuju dengan penganjuran pesta itu,” ujarnya.
 
Dengan tindakan ini juga beliau mengharap Majlis Perbandaran Klang melihat kembali keputusan yang telah dibuat serta mengambil kira pandangan pihak polis.
 
Tambah beliau lagi, Pemuda PAS memberikan seluruh kepercayaan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia bagi meneruskan siasatan lebih lanjut berkaitan permohonan yang dibuat oleh penganjur.
 
Menurutnya, beliau berharap polis mengambil tindakan agar pesta sebegini tidak dianjurkan kerana kesannya membawa kepada risiko keselamatan pelbagai pihak dan menjadi faktor keruntuhan moral yang semakin berleluasa.
 
Kehadiran Syarhan yang diiringi Pemuda PAS Kawasan-kawasan disambut baik oleh Ketua Polis Daerah Klang, Tuan Mazelan Paijan bersama beberapa anggota yang memberikan kerjasama sangat baik dalam pertemuan pagi ini.
 
Turut hadir bersama hari ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar, Ustaz Noor Najhan Salleh; Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Raja, Mohd Diah Baharun dan Yang Dipertua PAS Kawasan Klang, Ustaz Khalid Nayan. – HARAKAHDAILY 29/9/2017
Advertisement