Asnaf mana yang dapat bantuan Yayasan Tabung Haji

SIAPA yang dapat duit Yayasan Tabung Haji di Parlimen Bukit Gantang. Menurut jawapan Menteri kepada pertanyaan saya  pada 3/8/17 di Parlimen, seramai 750 asnaf di dalam Parlimen Bukit Gantang dengan kos agihan sebanyak RM150,000 telah menerima bantuan tersebut. Wang ini diagihkan ketika Perdana Menteri datang di Taman Mewah dan Masjid Pengkalan Aur di awal Ramadhan yang lalu.

Advertisement

Persoalannya kepada siapa yang diagihkan. Kriteria apa yang dipilih. Saya selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang bersama PAS Kawasan Bukit Gantang telah mengagihkan bantuan kepada Asnaf, OKU, anak yatim seramai 830 orang  tanpa mengira apa ideologi poltik. Wang yang diagihkan daripada duit sendiri dan ahli PAS. Ia menjadi program tahunan saya dan PAS Kawasan.

Saya cuba mendapat maklumat daripada penerima di dalam majlis saya, siapa yang dapat wang yang diberi oleh DS Najib Tun Razak. Daripada seramai  830 penerima, hanya empat orang sahaja yang mengaku mendapat bantuan. Seorangnya daripada Dun Changkat Jering dan tiga daripada Dun Kuala Sepetang. Tidak logik daripada 830 hanya empat orang sahaja yang dapat.

Pada hal penerima bantuan saya sebahagian besar bukan ahli PAS, malahan ada yang penyokong tegar Umno. Saya tidak kisah, tangggungjawab saya mesti membantu mereka yang perlu dibantu. Saya cukup gembira jika pengundi di kawasan saya menerima bantuan  daripada Yayasan Tabung Haji, biarpun mereka ini orang Umno, asalkan mereka susah. Kalau macam ini mana slogan negeri Perak tidak ada yang tertinggal dan tidak ada yang terpinggir. – HARAKAHDAILY 29/9/2017