Dunia, dengarlah derita Rohingya ini

KETIKA saya sedang memberi fokus 100 peratus terhadap Rohingya di Bangladesh, saya mengenepikan hal-hal lain. Namun sekembali dari melaksanakan program korban dan akikah di Jammu-Kashmir India, saya tidak dapat lagi menahan suatu perkara yang cuba saya sembunyikan. Berbeza dengan Hyderabad, di mana pelarian Rohingya hidup di tengah-tengah masyarakat Muslim, pelarian Rohingya di Jammu hidup dikelilingi masyarakat Hindu yang sebahagiannya juga adalah ekstremis. (Jammu adalah dibawah kekuasaan India). Keadaan tegang di Jammu kerana eksremis Hindu di sana telah memberi kata dua supaya kerajaan menghalau pelarian Rohingya yang lari ke sana. 
 
Kami sendiri teragak-agak untuk ke Jammu. Tapi memandangkan tidak pernah pihak luar masuk ke kem pelarian Rohingya di Jammu, kami beranikan diri juga masuk ke sana. Selain ibadah korban dan akikah yang telah dijalankan, kami berhasrat menziarahi dan menyantuni pelarian-pelarian ini dan mengetahui keadaan mereka. Selama ini dunia tidak pernah dimaklum bahawa terdapat Rohingya yang lari sebegitu jauh, ke utara India. Di Jammu ini, askar India berkawal merata tempat. Pemeriksaan keselamatan usahlah diperkata. Entah berapa kali kami diperiksa. Seperti sedia maklum, sering berlaku pertembungan antara askar dan Pejuang Kemerdekaan Kashmir.
 
India mendakwa seluruh negeri Jammu dan Kashmir adalah haknya. Pada 2010 India mentadbir 43 peratus wilayah termasuk sebahagian besar Jammu, di Lembah Kashmir, Ladakh, dan glasier Siachen. Negara Pakistan pula menguasai sekitar 37 peratus dari Kashmir, iaitu Azad Kashmir dan wilayah utara Gilgit dan Baltistan. China menguasai 20 peratus dari Kashmir, termasuk Aksai Chin yang diduduki selepas Perang China-India 1962, dan Tran Karakoram (juga dikenali sebagai Lembah Shaksam), yang diserahkan oleh Pakistan pada tahun 1963. Jammu dan Kashmir menjadi lokasi konflik antara Angkatan Bersenjata India , militan, dan pemisah.
 
Walaupun keadaan tegang di Kem Pelarian Jammu, kami tetap berada di sana hingga korban dan akikah telah pun selesai dilaksana. Tetapi belum pun apa-apa, kunjungan kami dihidu kumpulan ektremis. Maulana Yusof, ketua pelarian Rohingya yang bimbang keselamatan kami, segera mengurung kami di pondok buruknya. Pintu dikunci dan lampu ditutup. Keadaan sangat tegang. Berjam-jam kami begitu sambil merancang dan mencari jalan untuk segera keluar dari Jammu. Destinasi kami adalah untuk segera keluar ke Srinagar. Malangnya, tidak ada penerbangan kecuali keesokan hari. 
 
Setelah keadaan reda, kami kembali dan hanya berkurung di hotel dan tidak berani ke mana-mana lagi termasuk untuk keluar makan malam. Arafat, orang perantaraan di sana membawa makanan untuk kami di hotel. Sedih rasanya tidak sempat ziarah kem-kem lain di sekitar Jammu. Esoknya kami terbang keluar dari Jammu ke Srinagar. Balik ke Malaysia, kami mendapat khabar sedih, 12 pelarian Rohingya ditangkap termasuk Maulana Yusof, mereka ditahan. Pembebasan mereka perlukan duit. MAPIM menghantar sedikit duit, sembilan orang dibebaskan manakala tiga masih ditahan hingga saat ini termasuk Maulana Yusof.
 
Dua hari lepas kami dimaklum, pelarian Rohingya telah dipaksa keluar dari Jammu. Semalam 70 telah berpindah dan 10 orang lagi ditangkap.  Ketika saya menaip ini, ratusan lagi sedang bersiap-siap untuk meninggalkan Jammu. Sebahagian akan bergerak ke Hyderabad sejauh hampir 2,000 km.
 
Allahuakbar! Saya kongsikan perkara dan pengalaman ini. Itulah derita Rohingya… Saya tak mampu menyimpannya lagi
 
NADZIR SHAFIE
Aktivis MAPIM/ Group Titian Kasih – HARAKAHDAILY 29/9/2017
Advertisement